Kerajaan sokong usaha galakkan perdagangan antara Sabah dan China

0
32
Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah bersedia untuk bertindak sebagai pemangkin bagi mewujudkan banyak peluang perdagangan dan pelaburan penting yang akan membantu menjalin hubungan ekonomi antara Sabah dan China, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan terus menyokong usaha sektor swasta dalam menggalakkan perdagangan dan pelaburan antara Sabah dan China oleh kerana Sabah adalah rakan kongsi perdagangan dengan China sejak sebelum kemerdekaan dan banyak pendatang dari tanah besar itu menetap di Sabah.

“Kini jenis perniagaan dan perdagangan dengan China telah berkembang. Oleh itu kita terus membuka lebih banyak pelaburan dan kerjasama dalam bidang minyak dan gas, pertanian dan ternakan, infrastruktur dan perdagangan,” katanya pada majlis ulang tahun ke-44 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China serta ulang tahun kelima Persatuan Persahabatan Ma Zhong, di sini pada Ahad.

Dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Musa berkata Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia juga telah mendapat manfaat dalam hubungan antara Malaysia dan China.

“Pembukaan Pejabat Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu adalah bukti mengenai perkongsian strategik ini yang telah memperkuat hubungan dua hala dan kerjasama erat terutama dalam bidang pendidikan, budaya, pelancongan dan perdagangan.

“China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2010 dan Malaysia kekal sebagai rakan dagang ASEAN terbesar China sejak tahun 2009,” katanya.

Sehubungan itu, Musa berkata kerajaan negeri akan terus menyokong kegiatan Persatuan Persahabatan Ma Zhong Sabah untuk mengukuhkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara dan sebagai tanda sokongan, kerajaan negeri menyumbangkan RM50,000 kepada persatuan berkenaan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here