Kerajaan teruskan inisiatif DFTZ – Gobind

0
93
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan inisiatif platform Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang diusahakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, hasil kerjasama dengan Alibaba Group Holding Ltd (Alibaba).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata sejak insiatif DFTZ dilaksanakan, projek tersebut telah memberi impak positif dalam meningkatkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi transaksi e-dagang rentas sempadan.

“Kerajaan akan meneruskan usaha-usaha, pelaksanaan dan inisiatif untuk memberikan manfaat dan faedah kepada PKS melalui DFTZ.

“Kerajaan juga akan terus memantau prestasi eksport PKS yang menyertai program ini bagi memastikan PKS berdaya maju untuk tempoh jangka panjang,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri¬†pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.¬†

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta kerajaan menjelaskan status inisiatif DFTZ setelah berlaku pertukaran pentadbiran Kerajaan.

Sehingga kini, lebih 3,300 PKS tempatan telah menyertai platform DFTZ.

DFTZ disasarkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan menyediakan kemudahan e-dagang merentas sempadan untuk PKS, yang sebelum ini sukar untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Rekod perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada April mengenai pencapaian awal menunjukkan, sebanyak 70 PKS berjaya menjana jualan bernilai RM52.1 juta dengan nilai eksport sebanyak RM18.1 juta.

Gobind Singh turut memberitahu Dewan Rakyat bahawa dalam memperkasakan DFTZ, kerajaan tidak memfokus kepada platform tertentu semata-mata misalnya Alibaba, tetapi kepada semua platform e-dagang yang dapat membantu perkembangan PKS tempatan.

Katanya MDEC juga bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan SME Corp untuk menggalakkan penglibatan PKS tempatan dalam DFTZ melalui pelbagai platform termasuk Alibaba dan Lazada.

Menjawab soalan tambahan Mohd Shahar yang ingin tahu usaha kerajaan dalam menarik minat masyarakat luar bandar terlibat perniagaan dalam talian, Gobind Singh berkata usaha penyediaan dan penambahbaikan infrastruktur perlu diperkukuh bagi menggalak dan menyakinkan golongan luar bandar mengambil peluang dan menyertai perniagaan tersebut.

Bagi jangka panjang, katanya, kerajaan akan mempertimbang untuk mewujudkan undang-undang bagi tujuan menjaga hak dan kepentingan peniaga dalam talian, tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here