'Kerana Umno Zam merasa jadi menteri'

0
36



Bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu Tan Sri Zainuddin Maidin disifatkan tidak mengenang budi kerana terus memperlekehkan Umno.

Pemimpin Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee berkata Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Zam sepatutnya berterima kasih kepada Umno.

“Kerana Umno, beliau berpeluang menjawat jawatan tertinggi di akhbar arus perdana, kerana Umno juga, beliau diberi peluang berada dalam kabinet biarpun bukannya seorang pemimpin politik yang lahir daripada akar umbi Umno,” tegasnya.

Zam menerajui Utusan Melayu daripada tahun 1983 hingga 1992 dan dilantik sebagai menteri penerangan selama dua tahun sehingga 2008.

Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Zam semalam berkata, Umno sudah tiada masa depan kerana “jasanya yang tersemat di hati rakyat telah terpadam”.

Katanya, sukar untuk menebus kembali keyakinan rakyat setelah “keruntuhan” berlaku satu demi satu, termasuk hilangnya keyakinan pada semua media milik kerajaan.

Dalam blognya hari ini, Syed Ali berkata sikap mengungkit dan cuba memberi gambaran seolah-olah Umno dan kerajaan tidak pernah berjasa kepada rakyat merupakan perbuatan yang tidak wajar.

Beliau juga berkata tidak tahu apa sebenarnya masalah Zam dengan Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya masalah Zam dengan Umno dan Najib, tetapi tindakan beliau yang berterusan mengecam dan menyerang Umno merupakan tindakan keterlaluan kerana parti itu pernah berjasa kepada beliau,” tegasnya.

Syed Ali bagaimanapun berkata tuduhan Zam itu semata-mata tanggapan kerana marah pada Umno dan pentadbiran Najib.

“Dakwaan tersebut pada hemat saya tercetus akibat sifat kecewa, sikap egoistik dan rasa taksub melampau terhadap individu tertentu yang perlu sentiasa dipuja atas kecemerlangannya pada suatu ketika,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here