Kerjasama Proton-Geely bagi pastikan pertumbuhan pengeluar kereta nasional

0
65



KUALA LUMPUR: Berita bahawa Geely Automobile Holdings Ltd dari China menjadi rakan kongsi strategik asing (FSP) Proton memberi prospek yang baik kepada Malaysia susulan kerjasama tersebut akan meletakkan pengeluar kereta nasional itu pada landasan yang kukuh ke arah pertumbuhan pada masa akan datang.

Ini memandangkan Geely mempunyai rekod prestasi yang telah terbukti dalam menyelamatkan pengeluar kereta dari Sweden yang terkenal, Volvo, yang dibelinya pada 2010, dan jualan jenama Sweden itu melebihi paras setengah juta dalam tempoh lima tahun.

Geely boleh melakukan perkara yang sama ke atas Proton, terutamanya dalam memaksimumkan kapasiti kilang pengeluarannya di Tanjung Malim, selain mendorong jenama Proton ke pasaran global dan serantau secara besar-besaran, kata penganalisis.

Pakar Geo Strategi, Dr Azmi Hassan, melahirkan keyakinan bahawa Proton selepas ini akan berada di landasan pertumbuhan yang meningkat, berdasarkan pencapaian Geely dalam memulihkan Volvo dan menyasarkan jualan sebanyak sejuta unit pada 2017.

Geely, yang memiliki 100 peratus ekuiti dalam Volvo, turut memiliki sepenuhnya London Taxi Company yang ikonik.

“Apa yang Geely lakukan dengan pemulihan Volvo, ia akan melakukan perkara yang sama ke atas Proton (dan) kerjasama Proton-Geely bukan sahaja akan menjadi situasi ”menang-menang” kepada kedua-dua pihak tetapi juga kepada Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai berita bahawa Geely akan menjadi FSP kepada Proton.

“Sebab Geely membeli Proton, satu-satunya pengeluar kereta lengkap di Asean adalah untuk mengembangkan operasinya di rantau ini,” katanya.

Kesungguhan syarikat induk Proton, DRB-Hicom mencari FSP adalah untuk memulihkan pengeluar kereta nasional itu bagi memastikan pertumbuhan masa depannya.

Semalam, DRB-Hicom meminta penggantungan sahamnya di Bursa Malaysia. Ia ditutup pada RM1.68, sementara menunggu pengumuman penting.

Beliau berkata Proton tidak perlu lagi menumpukan kepada pasaran domestik, tetapi berkembang di Asia Tenggara dan di peringkat global melalui modal daripada Geely, selain kepakaran mereka dalam bidang automotif yang telah terbukti.

Penganalisis Automotif Hezeri Samsuri berkata selain Geely mempunyai rekod kejayaan mereka sendiri, mereka berjaya meningkatkan prestasi Volvo untuk menjadi lebih baik berbanding semasa Ford memiliki Volvo sebelum ini.

Urus niaga Proton dengan Geely membawa kepada pertumbuhan dalam pembuatan, model kereta baharu, pemindahan teknologi dan platform, peluang pekerjaan yang meningkat, dan tempahan lebih besar bagi vendor Malaysia, katanya.

Beliau berkata Proton juga perlu berusaha untuk menjual kereta nasional ke pasaran China yang luas, berdasarkan kerjasama antara Proton dan Geely.

Seorang lagi penganalisis yang enggan dikenali berkata kelebihan utama Proton daripada kerjasama itu ialah Geely merupakan syarikat automotif yang dipacu usahawan dan antara beberapa yang terdapat di dunia berbanding syarikat kereta yang dimiliki oleh perusahaan negara dan multinasional.

Pengasas Geely Li Shufu, kadangkala dirujuk sebagai “Henry Ford of China,” seorang usahawan yang mula membina kereta pada tahun 1998.

Geely mencatatkan jualan kereta sebanyak 1.3 juta unit pada Februari tahun lepas.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here