Kerjasama Proton-Geely beri peluang vendor kereta tempatan tembusi pasaran global

0
34

KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara Proton Holdings Bhd (Proton) dengan syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely) memberi peluang kepada vendor komponen kereta tempatan untuk menembusi pasaran global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata melalui kerjasama itu, syarikat komponen kereta turut berpeluang untuk membekal kepada rangkaian kenderaan yang dimiliki Geely jika memenuhi syarat dan kualiti yang ditetapkan.

“Kerajaan akan memastikan kita mempunyai program membina keupayaan, dan ini janji Geely kepada Proton. Bukan sahaja mereka (vendor) dapat membekalkan komponen untuk Proton tetapi juga Volvo tetapi komponen yang dikeluarkan perlu berkualiti dan setanding dengan negara asing.

“Proton kini mempunyai 240 vendor tempatan yang membekalkan komponen untuk pembinaan kereta mereka. Vendor adalah komponen terpenting dan vendor hendaklah memastikan komponen yang dikeluarkan mematuhi kualiti,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) mengenai jaminan kerajaan untuk memastikan vendor komponen kereta tempatan dilindungi menerusi kerjasama itu.

Mustapa berkata jika vendor menepati kualiti dan harga yang setanding dengan negara asing, mereka bukan sahaja berpeluang menjadi pembekal untuk Geely malah dapat menarik minat syarikat pengeluar kereta dunia yang lain.

Katanya berdasarkan kepada pelan perniagaan 10 tahun yang dimuktamadkan Proton dan Geely, kerajaan yakin Proton akan lebih kompetitif dan prestasinya akan dapat ditingkatkan secara keseluruhan berdasarkan pengalaman yang dimiliki Geely.

“Geely adalah antara pengeluar kereta terkemuka di China dan syarikat itu mempunyai rekod jualan sebanyak 1.2 juta unit setahun dan mengeksport kereta ke 23 buah negara tahun lalu. Geely juga mempunyai rekod cemerlang dalam memulihkan Volvo.

“Kerajaan yakin masa depan Proton akan lebih cerah,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here