Kerjasama ringan beban

0
55



Bagan Serai: Penderitaan dan kesusahan seorang wanita warga emas yang mengalami penyakit kencing manis kritikal dan darah tinggi selain terpaksa menjaga dua cucunya yang masih bersekolah terbela apabila kisah kehidupannya tular di media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak.

Tiga badan bukan kerajaan (NGO) bergabung dan tampil membantu meringankan penderitaan serta beban hidup Rahmah Basah, 60, yang menetap di Parit Haji Napis, di sini hasil daripada sumbangan ahli NGO.

Pertubuhan Sukarela Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian (PSKK) bersama Seberang Perai Bikers Riadah Club (SPBRC) dan Bagan Serai Kampung Halamanku (BSKH) tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan serta wang tunai kepada Rahmah bagi membantu meringankan bebannya terutama di bulan Ramadan.

Setiausaha SPBRC, Khairul Albar Masror berkata, pihaknya bersama NGO lain terpanggil membantu kesusahan Rahmah yang tular di laman sosial terutama di Facebook dan kumpulan WhatsApp.

“Wakil kami menziarahi keluarga ini sebelum ini bagi memastikan kesahihan dan melihat sendiri kedaifan dialami.

“Kami dapati selain mempunyai masalah kesihatan, Rahmah terpaksa membesarkan dua orang cucu yang masih bersekolah dan terpaksa berjalan kaki sejauh lebih tiga kilometer hampir setiap hari untuk menaiki bas bagi mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Kurau, di sini dan justeru itu pihak kami terpanggil untuk membantu,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, 40 ahli SPBRC bersama 20 ahli dari PSKK dan BSKH turun padang menyantuni keluarga terbabit yang turut dihadiri Pengerusi PSKK, Mohd Ali Mohd Adlan.

“Kelab SPBRC ditubuhkan pada 2003 dan setiap tahun apabila tibanya Ramadan, ahli kelab akan mengadakan aktiviti berkonvoi sambil beramal membantu golongan memerlukan di seluruh Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Rahmah melahirkan rasa syukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib dialaminya.

Menurutnya, penyakit dialami semakin serius bermula setahun lalu dan dia terpaksa bergantung pada rawatan insulin empat kali sehari.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak yang prihatin terhadap nasib saya serta keluarga dan bantuan ini sangat meringankan beban saya untuk menampung kehidupan sepanjang Ramadan kali ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here