Kerjaya Prospek peruntuk sehingga RM50 juta bagi perbelanjaan modal tahun ini

0
152
Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan, Kerjaya Prospek Group Bhd, dijangka memperuntukkan antara RM30 juta dan RM50 juta bagi perbelanjaan modal pada tahun ini untuk menambah baik ekosistem dan peralatan lojinya.

Pengerusi Eksekutif Datuk Tee Eng Ho berkata syarikat akan melabur RM20 juta hingga RM30 juta dalam teknologi, terutamanya Sistem Binaan Berindustri (IBS), untuk mengurangkan lagi kos buruh.

“Selepas menukar daripada sistem konvensional kepada IBS (pada 2010), kami berjaya mengurangkan jumlah pekerja sebanyak 50 peratus kepada lebih 2,000 pekerja, iaitu 90 peratus adalah warga asing.

“Kami tidak merancang untuk mengurangkan lagi tenaga kerja kami buat masa ini, tetapi dengan teknologi baharu yang bertambah baik, lebih banyak kerja boleh dilakukan dan ia akan menjimatkan kira-kira 30 hingga 40 peratus keperluan tenaga kerja dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu di sini pada Isnin.

Walaupun perbelanjaan modal sehingga RM50 juta adalah kira-kira 40 peratus daripada keuntungannya, kumpulan akan terus melabur untuk mengekalkan keuntungannya, katanya.

Wang tersebut daripada dana dalaman, bukan daripada pinjaman.

“Tunai bersih kami berjumlah RM160 juta sehingga September tahun lepas, dan kadar pelaburan kami lebih perlahan berbanding aliran tunai kami dan kami akan terus melabur apabila terdapat peluang,” katanya.

Dengan lebih banyak tunai daripada operasinya, syarikat menggunakan dasar dividen untuk membayar minimum 25 peratus daripada keuntungannya selepas cukai dan kepentingan minoriti pada Ogos tahun lepas tetapi lazimnya, ia akan memberi lebih banyak, katanya.

Dalam perkembangan lain, Tee berkata syarikat telah mencatat rekod baharu di Malaysia dengan memperoleh 83.3 bagi Conquas (Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan) bagi (pembinaan) projek Setia Sky 88 di bawah Setia City Development Sdn Bhd.

Skor 80 bermakna 80 peratus daripada barangan yang dinilai bagi kualiti mutu kerja memenuhi standard Conquas, merupakan sistem pensijilan yang berpangkalan di Singapura mengukur kualiti projek pembinaan.

Beliau berkata pencapaian itu susulan penggunaan sistem IBS, yang bukan sahaja menyumbang dari segi kepantasan tetapi juga kualiti.

Tee percaya Kerjaya Prospek akan memperoleh skor yang lebih baik dengan projek yang sedang dilaksanakan.

Mengenai projek yang siap, beberapa kontraktor yang memperoleh skor lebih 80 peratus bagi Conquas akan dibayar bonus sebanyak satu peratus daripada nilai pembangunan oleh pemaju, katanya.

Sementara itu, kumpulan tersebut telah menetapkan sasaran penambahan nilai perolehan kontrak dalaman sebanyak RM1 bilion bagi tahun ini walaupun pasaran perumahan lembap dan yakin akan dapat mencapainya.

Mengenai masa depan, kumpulan itu akan terus mendapatkan projek bangunan tinggi terutamanya di Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Tee berkata syarikatnya telah memperoleh simpanan tanah yang besar, yang akan melibatkan projek dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1 bilion, dan kontrak pembinaan akan diserahkan kepada Kerjaya Prospek, di mana beliau adalah pemegang saham utama dengan pegangan kira-kira 70 peratus.

Kumpulan itu juga mempunyai nilai perolehan kontrak sebanyak RM1.3 bilion pada masa ini, dengan kadar kejayaan pembidaan normal sebanyak 20 peratus.

Di EGM pada Isnin, kumpulan itu mendapat kelulusan daripada pemegang sahamnya bagi terbitan cadangan bonus sehingga 677.44 juta saham baharu berdasarkan enam saham bonus bagi setiap lima saham sedia ada yang dipegang dan terbitan bonus sehingga 169.36 juta waran baharu berdasarkan enam waran bonus bagi setiap 20 saham sedia ada yang dipegang.

Selepas selesai cadangan tersebut, modal saham diperbesarkan Kerjaya Prospek atas dasar cair sepenuhnya akan berjumlah 1.41 bilion saham.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here