Kerugian MAPS tak libat dana awam

0
293
Advertisement

IPOH: Kerugian hampir RM20 juta yang dilapor dialami Taman Tema Animasi Studio (MAPS) tidak melibatkan sebarang dana awam, kata Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Beliau berkata, meskipun kerajaan negeri memiliki pegangan saham sebanyak 26 peratus melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), modal yang digunakan bagi membangunkan MAPS dibuat menerusi wang syarikat dan pembiayaan bank, tanpa ada kena mengena dengan duit tabung kerajaan negeri atau berkaitan dengannya.

Menurutnya, pegangan saham kerajaan melalui PKNP dalam Perak Corp Bhd (PCB) adalah 52.27 peratus dan PCB pula memegang saham Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) melalui anak syarikat penuh PCB, PCB Development Sdn Bhd (PCBD).

Manakala pegangan saham PCBD dalam ATP adalah 51 peratus menjadikan secara efektifnya pegangan kerajaan negeri melalui PKNP hanyalah 26 peratus.

“Kita tak boleh sewenangnya membelanjakan wang kerajaan, setiap duit dibelanjakan perlu dibentang dan mendapat kelulusan Dewan (Negeri), kena ada kebenaran bukan boleh suka-suka gunakan,” katanya pada sidang media, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung sikap sambil lewa kerajaan negeri terhadap dana awam apabila MAPS mencatat kerugian sekitar RM24 juta setahun.

Kata Mohammad Zahir, kerugian yang dinyatakan adalah kerugian sebelum operasi tahun berakhir Jun 2016 dan ia akan menyaksikan kerugian berterusan dalam tahun 2017, sehinggalah MAPS beroperasi sepenuhnya.

Menurutnya, keadaan itu sudahpun dijangkakan dan ia bukan satu isu besar dalam perniagaan taman tema.

“Pelaburan dalam taman tema memerlukan modal secara insentif dan pulangan diterima dalam tempoh tujuh hingga 10 tahun, lainlah kalau syarikat yang dapat tanah 10,000 hektar dan dia boleh jual balak atau kelapa sawit untuk dapatkan keuntungan cepat,” katanya.

Beliau berkata, perancangan pembangunan MAPS turut memberi impak untuk kawasan persekitarannya termasuklah nilai tanah yang sebelum ini RM30 bagi satu kaki persegi meningkat kepada RM135.

“Begitu juga dengan tumbuhnya hotel bajet, restoran, pasar raya dan kemudahan pengangkutan di terminal, perancangan rapi dilakukan kerajaan menjadikan kawasan Meru Raya ini menjadi satu bandar baru di Ipoh,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi MAPS, Mohd Farid Abdul Aziz berkata, dalam tempoh lapan bulan sejak dibuka Jun lalu, MAPS menerima kunjungan 222,750 orang dengan 71 peratus merupakan pelancong luar Perak.

“Untuk tiga bulan pertama tahun ini pula, seramai 60,000 pengunjung direkodkan mengunjungi MAPS, jumlah ini dijangka terus meningkat dengan pembukaan DreamZone yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya, Jun ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here