Kes bunuh Jong Nam dipindah ke Mahkamah Tinggi

0
72



SEPANG: Mahkamah Majistret Sepang hari ini memutuskan perbicaraan kes ke atas dua warga asing yang dituduh membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Keputusan dibuat Hakim Harith Sham Mohamed Yasin selepas membenarkan permohonan dibuat pihak pendakwaraya.

Mahkamah bagaimanapun belum memutuskan tarikh perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Iskandar Ahmad.

Manakala, tertuduh warga Indonesia, Siti Aisyah diwakili peguam, Gooi Soon Seng, dan tertuduh warga Vietnam, Doan Thi Huong diwakili Hisham Teh Poh Teik dan Datuk Naran Singh.

Keputusan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi itu dibuat mengikut 177a Kanun Acara Jenayah (CPC).

Doan dan Siti Aisyah sebelum itu tiba secara berasingan di mahkamah sekitar jam 9 pagi dengan kawalan ketat oleh anggota Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc).

Mereka turut  kelihatan memakai jaket kalis peluru.

Menurut Muhammad Iskandar yang ditemui media, pihak pendakwaan memerlukan kira-kira tiga bulan untuk melengkapkan semua dokumen-dokumen bersabit dengan kes.

Katanya, selepas keputusan mahkamah itu, tarikh perbicaraan kes hanya akan ditentukan mahkamah tinggi.

Pada 1 Mac lalu,  Siti Aisyah dan Doan, dihadapkan di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh Jong Nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada kira-kira 9 pagi, 13 Febuari lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan.

Jong Nam ketika itu sedang menunggu penerbangan ke Macau sebelum dihampiri dua wanita warga asing yang menekup mukanya dengan agen saraf VX.

Jong Nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here