Kes rasuah: Pegawai polis bebas dengan jaminan SPRM

0
63



Seorang pegawai kanan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah yang direman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka, dibebaskan di Putrajaya hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan pegawai polis berpangkat DSP itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000.

Lelaki berumur 49 tahun itu adalah individu ke-12 ditahan pada 22 Mei bagi membantu siasatan kes tersebut.

Setakat ini, 13 individu ditahan SPRM termasuk sembilan pegawai dan anggota polis berkaitan siasatan kes berkenaan.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) dan 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Harm 2001.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret membenarkan tujuh anggota polis termasuk dua ketua polis daerah yang bertugas di Melaka dan tiga orang awam dibebaskan dengan jaminan iaitu setiap anggota polis masing-masing sebanyak RM50,000 manakala setiap orang awam RM100,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Dua lagi iaitu seorang pegawai polis berpangkat ASP dan seorang pemandu van yang didakwa menjadi orang tengah mengutip wang perlindungan masih direman.

Pemandu van direman sehingga sehingga 30 Mei manakala pegawai polis berpangkat ASP sehingga 31 Mei bagi membantu siasatan.

-Bernama
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here