Kesedaran kewangan semasa persaraan penting, perlu ditingkatkan

0
22

KUALA LUMPUR: Kesedaran masyarakat untuk membuat persediaan khususnya dari segi kewangan menjelang tempoh persaraan masih di tahap amat rendah dan membimbangkan.

Mentor Kewangan Dr Niki Shuhada Shukor berkata ia berpunca daripada kurangnya kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kewangan semasa bersara.

“Mereka merasakan tidak penting menyimpan hari ini dan boleh dilakukan kemudian, namun di saat mereka sedar ia mungkin sudah terlambat. Masa depan akan tiba dan kita memerlukan kewangan semasa bersara. Sumber pendapatan kita mungkin akan lebih kecil, atau kita tidak sihat dan itu memerlukan mempunyai sumber kewangan kukuh.

“Kajian dibuat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja tahun ini menunjukkan simpanan isi rumah di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar besar serta simpanan di luar bandar, lebih 90 peratus tidak mencukupi untuk bersara dengan selesa.

“Kewangan mereka tidak mencukupi untuk bersara,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu rancangan temubual Nine11 terbitan Bernama News Channel di sini, hari ini.

Beliau berkata masyarakat perlu mempunyai kesedaran untuk perancangan kewangan yang holistik selain bijak menguruskan perbelanjaan.

“Terdapat dua perbelanjaan hari ini iaitu perbelanjaan komitmen bulanan seperti kereta, rumah dan makan serta perbelanjaan untuk tanggungan seperti ibu bapa, isteri dan anak-anak.

“Perancangan kewangan yang bijak, ia akan menemukan komitmen hari ini dengan komitmen masa hadapan. Paling mudah kita perlu menyimpan 10 peratus daripada gaji kita sebagai persediaan di masa hadapan,” katanya.

Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kewangan berkata antara punca masyarakat tidak dapat menyimpan dan membuat persediaan kewangan untuk bersara adalah kerana pemilihan gaya hidup yang salah.

“Mereka tidak menyimpan kerana desakan komitmen bulanan yang menjerat diri mereka. Mungkin mereka memiliki kereta yang terlalu mahal, rumah dan inginkan gaya hidup mewah.

“Telefon bimbit sentiasa bertukar, makan dan minum yang mahal sehingga mendesak mereka menggunakan wang hari ini sahaja tanpa berfikir untuk menyimpan bagi kegunaan pada masa depan,” katanya.

Niki Shuhada menambah selain gaya hidup, pinjaman yang tidak mampu dilangsaikan juga menjadi punca masyarakat tidak bersedia untuk menghadapi persaraan.

“Jumlah mereka yang bankrap adalah ramai dan kebanyakannya lelaki kerana tekanan untuk membuat perniagaan mungkin tidak betul seperti melabur dalam skim cepat kaya atau perniagaan tidak menjadi. Mereka perlu buat pilihan tepat.” katanya.

Beliau berkata bimbingan daripada ibu bapa dan mentor juga penting untuk mendidik dan mengingatkan masyarakat terutamanya generasi muda mengenai pentingnya menyimpan sebagai persediaan bersara pada masa hadapan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here