Keselamatan rakyat Sabah sentiasa terjamin – Musa Aman

0
85



SANDAKAN: Keselamatan dan keamanan rakyat di negeri ini sentiasa dalam keadaan terjamin menerusi komitmen tinggi anggota pasukan keselamatan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata anggota pasukan keselamatan yang terdiri daripada anggota polis dan tentera menjaga keselamatan termasuk di kawasan perairan dan pos kawalan sedia ada.

“Anggota pasukan keselamatan mengawal perairan kita dengan baik bagi memastikan rakyat negeri ini sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Zakat Ramadan kepada 924 golongan asnaf di Kampung Sungai Luboh dekat sini hari ini.

Justeru, beliau berkata pengorbanan anggota pasukan keselamatan menjalankan tugas termasuk pada bulan ramadan adalah dihargai.

Musa berkata kerajaan akan terus memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan rakyat mendapat pembelaan yang terbaik.

“Kita dalam kerajaan Barisan Nasional sentiasa bekerja untuk memastikan rakyat menikmati kehidupan yang baik dan menjadikan Sabah dalam keadaan aman serta stabil,” katanya.

Sementara itu dalam majlis berasingan, Musa turut menyampaikan bantuan Zakat Ramadan kepada 950 golongan asnaf di Taman Merpati di sini.

Pada majlis anjuran syarikat kerajaan negeri Warisan Harta Sdn Bhd itu, beliau turut berbuka puasa bersama penduduk dan menunaikan solat tArawih di Masjid Taman Merpati.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here