Kesempatan jelaskan isu Rohingya – Duta Malaysia

0
43

WASHINGTON: Kuala Lumpur mahu memperkukuhkan lagi hubungan dua hala enam dekad dijalin dengan Washington dan mencartakan hala tuju apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melangkah masuk ke Pejabat Oval pada Selasa untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Dan dengan semua mata kini tertumpu pada musibah yang berlaku di negeri Rakhine, Myanmar, pertemuan di Rumah Putih itu menyediakan peluang terbaik untuk Malaysia membangkitkan penderitaan pelarian Rohingya kepada negara kuasa besar itu.

Ini antara perkara yang disentuh oleh Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Tan Sri Zulhasnan Rafique semasa memberikan taklimat kepada media menjelang lawatan kerja Najib ke Amerika pada 11-13 Sept atas undangan Presiden Trump.

Ia juga membuka peluang kepada Malaysia untuk menyatakan pendiriannya dalam soal antikeganasan dan peranan dimainkannya dalam usaha memerangi keganasan, dan turut berkongsi kebimbangan dengan negara-negara lain seperti Amerika berhubung masalah itu.

“Lawatan ini membuka peluang kepada perdana menteri untuk menekankan kepentingan Malaysia dalam perjuangan menentang keganasan, sebagai suara kesederhanaan dan pragmatisme serta sebagai negara majoriti Muslim yang dinamik dan progresif,” kata Zulhasnan.

Mengulas lanjut, Zulhasnan berkata Najib dijangka membawa isu masyarakat tertindas Rohingya bukan sahaja dalam pertemuan empat mata dengan Presiden Trump malah semasa perbincangan dua hala antara kedua-dua kerajaan.

Kuala Lumpur memandang berat masalah penindasan terhadap etnik Rohingya dan memberi komitmen untuk membantu menangani krisis pelarian kaum itu yang kini dilaporkan mencecah 500,000 orang di Bangladesh, negara jiran Myanmar.

Lawatan kerja Najib itu menjadikan beliau pemimpin kedua daripada Asia Tenggara selepas Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc untuk mengadakan pertemuan di Rumah Putih.

Menurut Zulhasnan, visi baharu Malaysia iaitu Transformasi Nasional 50 (TN50) merupakan antara topik penting yang bakal dijelaskan kepada pentadbiran Amerika Syarikat dalam konteks merangka hubungan lebih erat antara kedua-dua negara.

“Ini merupakan peluang baik untuk bincangkan (dengan presiden baharu). Negara kini mempunyai dasar baharu, TN50… jadi sebaiknya kita bincangkan hala tuju negara kita untuk 30 tahun akan datang,” kata duta itu.

Zulhasnan berkata sepanjang lapan bulan menjadi duta besar di Amerika Syarikat, beliau dapat melihat kesediaan pentadbiran Trump yang mahu mempertingkat hubungan perdagangan, lebih-lebih lagi selepas Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) tidak diteruskan.

Menurutnya, beberapa rundingan dengan pelbagai pemimpin perniagaan dan industri diatur semasa lawatan Najib ke sini untuk mengukuhkan lagi perkongsian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat.

Pertemuan empat mata Najib dan Presiden Trump di Oval Office akan diikuti mesyuarat delegasi yang turut melibatkan Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rex Tillerson, Menteri Pertahanan James Mattis, Ketua Staf Jeneral John Kelly dan Penasihat Keselamatan Negara Lt Jeneral H.R. McMaster.

Delegasi Malaysia antara lain dijangka disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed .

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here