Ketua pembangkang teruskan bantahan terhadap Erdogan

0
54


Penyokong pembangkang Turki Parti Republikan Rakyat (CHP), berjalan menunjuk perasaan bersama pemimpinnya, Kemal Kilicdaroglu (tengah) membantah sabitan salah seorang ahli parlimen parti di Istanbul. – Foto AFP

ISTANBUL: Pemimpin pembangkang Turki menyuarakan bantahannya terhadap Presiden Recep Tayyip Erdogan ketika berucap pada penghujung perarakan ‘keadilan’ yang mengambil masa sebulan dari Ankara ke Istanbul.

Pemimpin parti sekular, Parti Republikan Rakyat (CHP), Kemal Kilicdaroglu melancarkan perarakan pertama kali itu pada 15 Jun lalu membabitkan jarak 450 kilometer sebagai bantahan kepada penahanan salah seorang Ahli Parlimennya.

Penyokongnya membandingkan perarakan itu dengan Perarakan Garam pemimpin kemerdekaan India, Mahatma Gandhi pada 1930 tetapi kerajaan menolaknya dan mengatakan ia hanya satu ‘gangguan’.

Berarak dengan membawa sepanduk bertulis ‘Keadilan’ tanpa sebarang slogan parti, Kilicdargoglu memulakan perarakan selepas ahli parlimen partinya Enis Berberoglu, bekas wartawan dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun atas tuduhan membocorkan maklumat rahsia kepada akhbar.

“Kenapa saya perlu berjalan? Jarak 450 kilometer ini punyai satu matlamat: Keadilan,” kata pemimpin CHP yang tiba di Istanbul pada Jumaat lalu dengan disertai beribu-ribu penyokong yang memenuhi jalan tanpa mempedulikan cuaca panas.

Katanya, mereka bertanya mampukah keadilan ditegakkan di jalan? Beliau menjelaskan boleh jika berlaku ketidakadilan dan pelanggaran undang-undang di dalam negara dan jika mahkamah sudah tidak mampu menegakkan keadilan.

“Ketika itu anda perlu bangkit dan penuhi jalan raya. Itu apa yang saya lakukan sekarang. Saya hanya ada satu moto: KEADILAN,” katanya dalam satu kenyataan kepada AFP – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here