Keuntungan sebelum cukai FGV meningkat 60 peratus

0
68
Advertisement

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM417 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Ini merupakan peningkatan 60 peratus berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM260 juta pada 2016.

Dalam satu kenyataan kepada media hari ini, syarikat perladangan itu berkata peningkatan tersebut susulan prestasi lebih baik pada sektor perladangan serta logistik dan lain-lain (LO).

“Sektor Perladangan mencatatkan prestasi lebih baik dengan keuntungan sebanyak RM554 juta berbanding RM234 juta tahun lalu, susulan pengeluaran tandan buah segar yang lebih tinggi, margin jualan minyak sawit mentah yang meningkat serta prestasi syarikat-syarikat usahasama yang lebih baik,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad.

Sementara sektor LO mencatatkan keuntungan lebih tinggi sebanyak RM45 juta.

FGV turut menyaksikan peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak dua peratus kepada RM144 juta.

Bagaimanapun, pendapatannya bagi tahun penuh 2017 merosot dua peratus kepada RM16.98 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bergerak ke hadapan, FGV berkata ia komited menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh menjelang pertengahan tahun ini.

Ini bagi meningkatkan kecekapan penuaian yang dijangka akan membantu meningkatkan pengeluaran tandan buah segar sebanyak sembilan peratus kepada 4.85 juta tan metrik.

“Keputusan kumpulan bagi tahun penuh 2017 bertambah baik selaras dengan inisiatif Pertumbuhan dan Transformasi FGV pada 2017.

“Usaha mentransformasi dan merangsang pertumbuhan akan diteruskan memasuki 2018, yang mana kepimpinan tertinggi syarikat menjangka keputusan kewangan positif akan terus dikekalkan,” kata Zakaria.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here