Keuntungan selepas cukai Astro meningkat 23 peratus

0
17

KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM589 juta bagi 9 bulan pertama tahun kewangan 2018.

Ini merupakan peningkatan 23 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Astro bagaimanapun menyaksikan penyusutan pendapatan sebanyak 2 peratus, kepada RM4.14 bilion ringgit.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Datuk Rohana Rozhan, prestasi kewangan Astro dianggap positif jika mengambil kira persekitaran industri media yang mencabar sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, peralihan fokus Astro dari platform televisyen di rumah kepada platform digital menjadi fokus utama syarikat itu bergerak ke hadapan.

“Bergerak ke hadapan, kami perlu pastikan bahawa sambil kami mengukuhkan lagi perkhidmatan lama kami dan menukar fokus perkhidmatan kami, pada masa yang sama, kami juga perlu mempunyai dua enjin pertumbuhan utama.

“Salah satunya adalah pertumbuhan dalam ruang individu. Sebagai contoh, Astro sangat kuat di ruang rumah, kini kami juga ingin menjadi kuat dalam ruang individu. Bukan hanya ruang individu di Malaysia, tetapi juga ruang individu di rantau ini melalui aplikasi Tribe kami,” katanya.

Bagi tempoh yang sama, Astro turut mencatatkan peningkatan aliran tunai bebas kepada RM1.16 bilion, manakala perkongsian pasarannya meningkat kepada 73 peratus daripada keseluruhan isi rumah Malaysia.

Astro turut mencatatkan peningkatan pada Keuntungan Sebelum Cukai, Faedah, Susut Nilai Dan Pelunasan (EBITDA) sebanyak 4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.43 bilion.

Ia turut mencatatkan peningkatan 0.4 peratus pada pendapatan pengiklanan, dengan perkongsian pendapatan pengiklanan televisyen dicatat pada 44 peratus dan perkongsian pendapatan pengiklanan radio sebanyak 74 peratus.

Susulan keputusan ini, Astro mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 3 sen sesaham.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here