Keyakinan pelabur akan dipulihkan, kata Azmin

0
28
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan optimis keyakinan pelabur akan dipulihkan dan seterusnya menghentikan jualan asing yang berterusan di Bursa Malaysia, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengakui bahawa keadaan ini adalah satu cabaran sebenar kepada kerajaan Pakatan Harapan, Mohamed Azmin, bagaimanapun, yakin inisiatif yang telah diambil oleh pentadbiran baharu itu akan membuahkan hasil positif sebaik sahaja pasaran stabil.

“Ia akan mengambil sedikit masa bagi kita untuk memulihkan keyakinan, tetapi sudah tentunya dengan inisiatif baharu yang dimulakan oleh kerajaan, saya percaya kita akan dapat menyakinkan mereka (pelabur), bukan sahaja untuk mengekalkan pelaburan mereka di Malaysia tetapi juga menarik lebih ramai pelabur datang ke Malaysia,” katanya kepada Bernama pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya RHB Bank, di sini, semalam.

Sehingga Jumaat minggu lepas, Bursa Malaysia telah mencatatkan jualan asing selama lapan minggu berturut-turut.

Sementara itu, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd, pelabur luar pesisir telah mengeluarkan ekuiti mereka dari Malaysia selama 33 hari berturut-turut antara 2 Mei dan 22 Jun, mengatasi rekod jualan 29 hari berturut-turut yang dicatatkan ada awal Januari hingga pertengahan Februrari 2014.

Mengenai pelaburan langsung asing (FDI), Mohamed Azmin berkata lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun pada awal bulan ini dan dijadualkan ke Indonesia pada hari ini dijangka dapat menarik pelaburan ke negara ini.

Beliau yang dipertanggungjawabkan menerajui kementerian yang akan merancang ekonomi Malaysia bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, menegaskan bahawa FDI adalah antara keutamaan utamanya selain daripada kesejahteraan sosial rakyat.

“FDI mustahak kerana kita mahu mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat dan kita mahu pelaburan yang boleh mewujudkan nilai kepada pemain tempatan, ini akan menjadi keutamaan yang akan kami tangani dalam tempoh beberapa bulan ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan mengambil pendekatan lebih memilih dan menumpukan kepada pelaburan berteknologi tinggi dan berintensifkan modal berbanding pelaburan berintensifkan buruh.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), FDI yang diluluskan tahun lepas turun 7.5 peratus kepada RM54.7 bilion, berbanding 2016, manakala aliran masuk FDI susut sebanyak 17 peratus kepada RM39.183 bilion, mencerminkan aliran FDI global yang perlahan disebabkan oleh pertumbuhan lembap ekonomi dan risiko dasar utama global.

– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here