Khairy gariskan ramuan memenangi Revolusi Perindustrian Ke-4

0
62
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kita sudah tiba ke Revolusi Perindustrian Keempat, dan revolusi kali ini adalah berasaskan dunia digital.

Ketika kita menyantuni arus perubahan ini, sumber manusia dilihat sebagai faktor kritikal yang bakal menentukan kejayaan negara dalam aspirasi Malaysia menjadi antara 20 negara terbaik dunia menjelang 2050.

Untuk itu, kita tidak boleh lagi bekerja hanya sekadar untuk kekal berada di dalam arus. Kita perlu menang dalam era ‘disruption‘ atau gangguan ini agar segala diimpikan dapat terlaksana.

Berucap merasmikan 3rd Tun Abdullah Ahmad Badawi Human Capital Summit 2018 di sini hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggariskan beberapa ‘ramuan’ bagi membentuk mentaliti menang dalam setiap pihak di segenap aspek.

Pertama, keberanian untuk berubah secara pemikiran dan gerak kerja.

“Keberanian dari setiap pihak – pembuat dasar, peneraju industri juga masyarakat secara amnya.

“Kita perlu menerima bahawa sekolah kita, universiti kita, institut latihan kita, tempat kerja kita, keutamaan pelaburan kita, dasar-dasar kita – akan berbeza, dan untuk kekal tidak berubah adalah resipi terunggul untuk gagal,” katanya.

Sistem pendidikan dan latihan perlu dilihat semula dan diberi persepsi baharu bahawa kemampuan seseorang individu tidak lagi diukur pada timbunan kelulusan dan sijil-sijilnya semata-mata.

Ya, ia masih perlu sebagai pengesahan, tetapi hari ini kita melihat ramai manusia yang berjaya hasil kegigihan dan kerja keras mereka memaksimakan potensi dan kebolehan masing-masing.

Khairy turut memberi gambaran tentang sekolah yang tidak lagi ada kerja rumah, ujian dan peperiksaan, tiada lagi subjek tetapi penilaian berdasarkan kebolehan murid mengendali projek dan bermain pelbagai bentuk permainan sebagai cara pengajaran dan pembelajaran baharu.

Kata Khairy, itulah wajahnya bilik darjah di negara-negara maju Eropah, namun ia mungkin menjadi satu bencana kepada kerajaan dan mungkin kalah pilihan raya sekiranya ia cuba dilaksanakan di negara ini.

“Memperbaiki sekolah kita tidak mencukupi – perjalanan kita menuju keunggulan memerlukan pengurusan sumber manusia menyeluruh yang berada di tahap terbaik.

“Itulah yang perlu kita lakukan. Kita perlu ada keberanian politik dan kemahuan untuk menerangkan kepada masyarakat bahawa sekiranya kita tidak mahu berubah, kita akan kekal berada di belakang,” jelasnya.

Pada era semua orang ada telefon bimbit, tablet, komputer riba dan segala macam peranti di sisi masing-masing setiap masa, platform tanpa sempadan yang terhasil daripada kepesatan teknologi juga sudah membolehkan kerja dan segala macam urus niaga dibuat di mana-mana sahaja.

Kini sudah zaman ekonomi ‘gig’, di mana lebih ramai individu membuat dua atau lebih kerja dan sudah tidak ramai lagi terikat di pejabat dari jam sembilan ke lima bekerja sepenuh masa.

Ruang kerja dan suasana di pejabat juga harus berubah untuk menjadi lebih fleksibel dan berupaya menyerlahkan potensi sebenar setiap kakitangannya tanpa perlu bergantung banyak pada kepakaran luar. Kita sebenarnya ramai bakat berkualiti.

“Alternatif ini sememangnya sukar. Ia memerlukan ketegasan daripada setiap pihak – dari kerajaan ke perniagaan sehinggalah masyarakat seluruhnya. Ia memerlukan pengorbanan kita demi masa depan anak-anak kita. Ia akan membawa kita ke aturan, sekolah, tempat kerja, kelayakan – secara asasnya kehidupan yang berbeza.

“Pilihan di tangan kita, yang bakal dikesal atau dimanfaatkan generasi akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here