Khazanah, Temasek rai projek pembangunan ikonik bersama di Singapura

0
26
Advertisement

KUALA LUMPUR : Khazanah Nasional Bhd dan Temasek Holdings (Private) Ltd mengumumkan kejayaan menyiapkan dua projek pembangunan ikonik bersama di Singapura, dengan pelancaran rasmi Marina One dan DUO oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Kejayaan menyiapkan dan melancarkan perasmian Marina One dan DUO, yang memiliki gabungan nilai pembangunan kasar kira-kira RM33 bilion, adalah hasil kerjasama antara Malaysia dan Singapura yang dimanfaatkan daripada hubungan dua hala yang kukuh dan telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

“Kejayaan menyiapkan projek pembangunan bersama bertaraf dunia oleh Khazanah dan Temasek membuktikan apa yang kita boleh capai menerusi kerjasama dan perkongsian erat yang memanfaatkan kekuatan dan faktor-faktor saling melengkapi antara kedua-dua negara, dalam hal ini gabungan kekuatan dan nilai-nilai kompetitif Iskandar Malaysia dan Singapura,” kata Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, di sini.

Marina One dan DUO juga menjadi bukti kerjasama erat antara Khazanah dan Temasek, serta komitmen dan keupayaan mereka untuk memajukan bersama dua projek ikonik utama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Pembangunan Marina One dan DUO, masing-masing terletak di Marina South dan Ophir-Rochor dilaksanakan M+S Pte Ltd.

Syarikat berkenaan dimiliki secara bersama oleh Khazanah dan Temasek, susulan satu pemetraian perjanjian antara Malaysia dan Singapura pada 2011.

Marina One and DUO adalah projek pembangunan bersepadu melibatkan komponen pejabat, runcit dan residensi.

Ia sudah memenangi beberapa anugerah dan pengiktirafan melibatkan reka bentuk lestari dan mesra alam.

Sementara itu, Bernama melaporkan, apabila ditanya mengenai sama ada peranan M+S Pte Ltd akan diperluaskan lagi selain daripada dua pembangunan di Singapura itu, Azman berkata: “Masih terlalu awal untuk menyatakan pada tahap ini.”

Azman berkata demikian ketika ditemui selepas acara pelancaran tersebut di sini. 

“Sama ada akan ada lagi bukan terpulang kepada kami untuk menyatakannya kerana kami ada perjanjian pemegang saham untuk melaksanakan ini. Tetapi untuk melaksanakan ini bukan bermakna hanya pembangunan, ia juga tentang pengurusan hartanah kerana kami perlu mengekalkan sewaan, pajakan dan penyewa… yang berterusan,” katanya.

Beliau menambah, M+S Pte Ltd akan meneruskan peranannya sebagai pengurus hartanah bagi pembangunan ini untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here