Khidmat Azim ditamatkan

0
198
Advertisement



Kuala Lumpur: Berbaki kira-kira sebulan Sukan Asia Jakarta-Palembang, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi hilang kuasa sebagai individu yang berpengaruh di Institut Sukan Negara (ISN) apabila khidmatnya sebagai pengerusi ditamatkan serta-merta.

Perkembangan itu disahkan sendiri Azim yang juga ketua kontinjen negara ke temasya itu dengan menjelaskan menerima surat itu semalam.

Beliau dilantik mengetuai ISN pada Mei 2017 dengan institusi itu turut bertanggungjawab menyelia program elit iaitu Program Podium.

“Saya terima surat daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Menteri Belia dan Sukan) menyatakan khidmat saya sebagai Pengerusi ISN ditamatkan serta-merta.

“Saya memang jangka. Saya fikir ini adalah kerana lantikan politik yang mana saya dilantik oleh menteri sebelum ini (Khairy Jamaluddin Abu Bakar),” katanya yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Azim bagaimanapun berharap mendapat kerjasama ISN terutama menjelang Sukan Asia demi kejayaan atlet pada temasya itu.

“Saya kini boleh memberi lebih tumpuan kepada MOM. Malah, banyak cara sekiranya saya mahu memberi sumbangan seperti terbabit dalam persatuan sukan dan sebagainya. Ia bukan pengakhiran dunia,” jelasnya.

Beliau turut menaruh harapan Pengerusi ISN yang baru dapat meningkatkan aspek pentadbiran dan pengurusan supaya lebih mantap kerana beliau tidak berkesempatan melakukannya apabila tidak lagi berada bersama institusi itu.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan bersama Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) yang meletakkan sasaran meraih satu emas di Jakarta-Palembang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here