Khidmat ISC lebih cekap

0
59



Dalam usaha menawarkan perkhidmatan selepas jualan profesional, Isuzu Malaysia menubuhkan pusat kemudahan selepas jualan yang diterajui pasukan teknikal Isuzu Motors Limited (IML) didatangkan khas dari Jepun.

Pusat dikenali sebagai Isuzu Service Center (ISC) di Shah Alam, Selangor itu menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan lebih cekap dan pantas kepada pengguna serta pemilik kenderaan Isuzu.

Beroperasi dengan kerjasama Automotive Corporation Malaysia (ACM), ISC diuruskan pasukan teknikal IML warga Jepun dan disokong juruteknik yang memiliki sijil i-MEC Isuzu.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Isuzu Motors Limited, Susumu Hosoi dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsuoka.

Matsuoka berkata, ISC menyediakan platform untuk Isuzu merealisasikan objektif korporatnya untuk meningkatkan hubungan dengan pelanggan.

“Ini dapat dilaksanakan dengan cara memenuhi keperluan pemilikan mereka sepenuhnya. Kenderaan Isuzu terus diminati kerana penjimatan bahan api yang luar biasa, tahan lasak dan boleh dipercayai.

“Ini terbukti apabila lebih 10,000 kenderaan baru Isuzu didaftarkan setiap tahun dan berharap ISC mampu menawarkan sokongan tambahan kepada rangkaian pengedar kami serta jumlah pelanggan yang kian meningkat dengan perkhidmatan selepas jualan yang efisien dan teliti,” katanya.

Menurutnya, kedudukan strategik ISC di wilayah tengah berhampiran rangkaian lebuh raya utama, pusat logistik dan pelabuhan penting negara, kemudahan itu dilihat sesuai untuk memberi perkhidmatan kepada trak jarak jauh yang menjadi tulang belakang negara.

“Salah satu objektif utama ISC adalah menyediakan proses pembaikan lebih pantas, seterusnya memendekkan tempoh kenderaan tidak dapat beroperasi.

“Ini dapat dilakukan melalui tenaga kerja yang cekap, alat ganti tersedia dan kemudahan komprehensif dengan 16 ruang penyelenggaraan.

“Kami harap dapat menggalakkan amalan penyelenggaraan, keselamatan dan penjagaan alam sekitar dalam kalangan pengendali trak supaya melakukan servis berkala di pusat servis yang sah,” katanya.

Terdahulu, ISC baru itu dilengkapi pengangkat berkapasiti tinggi yang mampu mengangkat trak tugas sederhana dan berat, alat ujian kalibrasi brek, alat pengukur emisi ekzos, mesin penjajaran tayar serta roda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here