Kim pendahulu John Deere Classic

0
35
Advertisement



LOS ANGELES: Pemain golf Amerika Syarikat (AS) Michael Kim menduduki carta pendahulu kejohanan Jelajah PGA John Deere Classic yang dihentikan separuh jalan berikutan cuaca buruk, semalam.

Pemain berusia 24 tahun yang lahir di Korea Selatan tetapi membesar di California, AS memiliki kelebihan empat pukulan di depan pencabarnya berakhir hari kedua pada aksi di lapangan TPC Deere Run Silvis, Illinois.

Memburu 63 pukulan untuk hari kedua berturut-turut, begitupun keadaan cuaca yang tidak menentu merencatkan rentaknya selepas dia melakukan pukulan kedua menuju ke kawasan green di lubang ke-18.

Dia ketika itu mengumpul lapan bawah par untuk keseluruhan 16 bawah par dengan pendahulu hari pertama, Steve Wheatcroft mengetuai senarai tiga pemain yang melengkapkan hari kedua dengan 12 bawah par 130.

Selain Wheatcroft, turut berkongsi catatan sama ialah pemain Kanada, David Hearn yang melakukan 64 pada pusingan kedua dan seorang lagi pemain AS, Johnson Wagner.

Kim yang memburu gelaran PGA pertamanya membuat lima birdie pada sembilan lubang awal yang kesemuanya dilakukan menerusi put pada jarak lingkungan 3 meter.

Dia kemudian melakukan birdie pada jarak 6 meter di lubang ke-11, 12 dan 14 sebelum permainannya dihentikan buat kali pertama selama hampir sejam akibat cuaca buruk sebelum sekali lagi tersekat akibat masalah sama dan gagal melengkapkan pusingannya.

Pemain Itali, Francesco Molinari yang melakukan 66 terikat dengan 131 pukulan bersama pemain Australia, Matt Jones yang melakukan 63 semalam.

Molinari yang melakukan 62 pukulan pada pusingan terakhir untuk menjuarai kejohanan Quicken Loans National dua minggu lalu melihat John Deere sebagai tugasan tambahan dan ujian untuknya sebelum menghadapi kejohanan utama, Terbuka British di Carnoustie, minggu depan.

“Tahun lalu saya tidak bermain sebelum mengharungi Terbuka British. Saya pergi ke Birkdale untuk mempelajari lapangan dan ia tidak berjaya,” kata Molinari. “Saya fikir pasti bagus untuk melakukan perkara dengan betul sehingga Terbuka British.” – AFP

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here