Kim Swee buru emas Sukan SEA, pusingan akhir B-23 AFC

0
38



PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menyasarkan tiket ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 apabila beraksi di peringkat kelayakan di Bangkok, Julai ini, selain pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos.

Pengendali berusia 46 tahun itu yang akan memimpin skuad negara buat kali keempat di Sukan SEA berkata, anak-anak buahnya perlu menggunakan dengan baik peluang menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu untuk meraih pingat emas.

Kim See pertama kali membimbing skuad negara ke Sukan SEA apabila membantu Malaysia meraih emas pada edisi 2011 di Indonesia. Beliau turut mengendalikan skuad negara pada Sukan SEA 2013 di Myanmar dan 2015 di Singapura.

“Setiap kali saya membawa pasukan ke Sukan SEA, pingat emas menjadi harapan kita, jadi saya rasa tidak banyak beza pada kali ini. Lagi-lagi apabila kita menjadi tuan rumah, sudah tentu ingin mencapai sasaran itu.

“Kelayakan AFC juga amat penting untuk bermain dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat, terutamanya pasukan seperti Jepun dan Korea Selatan. Kita tahu mereka mempunyai standard yang berlainan, ini memberi peluang untuk mendedahkan pemain muda kita,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan skuad B-22 di Wisma FAM di sini, hari ini.

Ia merupakan sesi latihan pertama beliau dengan skuad B-22 bagi Sukan SEA kali ini, selepas bekas jurulatih kebangsaan itu diarah menggantikan Frank Bernhardt, yang berasal dari Jerman pada Mac lalu.

Kim Swee berkata kesemua pemain yang disenaraikan telah melaporkan diri semalam, kecuali Safawi Rasid dari pasukan Johor Darul Ta”zim (JDT) yang akan menyertai skuad itu selepas aksi Piala AFC menentang Ceres-Negros di Filipina, Khamis ini, serta Ahmad Azriddin Rosli (Felda United) dan Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak) yang mengalami kecederaan ringan.

Selepas latihan selama 10 hari ini, pasukan itu akan ke China untuk meneruskan latihan dan perlawanan persahabatan menentang skuad B-22 China, skuad simpanan Guangzhou R & F dan pasukan simpanan Guangzhou Evergrande dari 6-13 Jun.

“Selepas kembali dari China, kita akan menyambung latihan di sini sehingga 23 Jun sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri. Saya akan menggunakan dengan baik masa yang ada ini untuk mengenali, menganalisis dan memilih pemain untuk kedua-dua kejohanan itu.

“Kita hanya mempunyai lebih kurang 80 hari untuk Sukan SEA dan 40 hari sebelum kelayakan Kejuaraan AFC, jadi saya tak boleh mengubah banyak pemain kali ini. Mungkin pada masa akan datang, saya akan uji pemain yang lain,” katanya.

Bagi saingan kelayakan Kejuaraan B-23 AFC di Bangkok bermula 19-23 Julai ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama tuan rumah Thailand, Indonesia dan Mongolia.

Daripada 40 pasukan yang diundi dalam 10 kumpulan, hanya 10 juara kumpulan dan lima naib juara kumpulan terbaik akan layak untuk beraksi di pusingan akhir kejuaraan, tidak termasuk tuan rumah China.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here