Kim tekad Korea Utara akan buat 'si sewel' Trump menyesal

0
35

SEOUL: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un hari ini memberikan amaran bahawa negara itu akan melakukan ‘serangan balas paling buruk dalam sejarah’ sebagai reaksi kepada ancaman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menghancurkan Korea Utara.

Dalam satu ucapannya, Kim dilaporkan turut melabelkan Trump sebagai ‘sewel’ atau ‘gila’ sambil merujuk kepada ucapannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang dianggap sebagai ‘pengisytiharan perang paling ganas dalam sejarah dunia’.

Kim juga mengesahkan bahawa program nuklear Pyongyang “berada di landasan yang betul”.

“Kenyataannya (Trump) telah memberi keyakinan kepada saya, bukan menakutkan atau menghalang saya, bahawa jalan yang saya pilih (membangunkan senjata nuklear) adalah betul dan ia adalah jalan yang perlu saya lalui sehingga penyudah,” kata Kim dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.

Trump sebelum ini telah memberi amaran kepada pemimpin Korea Utara itu bahawa Amerika Syarikat, jika terancam, akan “menghancurkan sepenuhnya” negara yang mempunyai 26 juta penduduk itu.

Ia adalah komen tanpa berselindung oleh presiden Amerika Syarikat itu, terhadap tindakan ketenteraan terhadap negara yang telah melakukan ujian nuklear keenamnya pada 3 September.

Selain ujian nuklear, Korea Utara juga telah melancarkan berpuluh-puluh ujian peluru berpandu sejak Kim mengambilalih kuasa pada tahun 2011.

Dua peluru berpandu balistik baru-baru ini terbang merentasi Jepun selain mendakwa mempunyai peluru berpandu perang nuklear yang dapat mensasarkan Amerika Syarikat.

Kim berkata Trump akan berdepan dengan “keputusan di luar jangkaannya,” tanpa menyatakan apakah tindakan yang akan berlaku.

“Pastinya saya akan menjinakkan ‘orang gila’ Amerika Syarikat itu dengan api,” kata Kim.

“Sekarang Trump telah menafikan kewujudan saya dan menghina saya dan negara saya di hadapan mata dunia ..kami akan mempertimbangkan dengan serius menjalankan serangan balas yang paling buruk dalam sejarah,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here