'Kini masanya bank-bank Islam bergabung'

0
61



Penggabungan unit-unit perbankan Islam di Malaysia adalah penting memandangkan pasaran itu semakin tepu dengan peserta yang mahu mencatat pertumbuhan, saran Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB Holdings Bhd, Datuk Seri Zukri Samat yang akan bersara tidak lama lagi.

Beliau berkata, penubuhan itu akan membolehkannya bersaing bukan sahaja dengan bank-bank Islam dalam negara, malah dengan institusi perbankan terkemuka dari segmen konvensional seperti Maybank dan CIMB.

Bagi skala lebih luas, bank Islam mega mempunyai potensi besar untuk mengembangkan operasi mereka di luar Malaysia, iaitu Indonesia, Kemboja dan Singapura sekali gus muncul sebagai menjadi peneraju serantau, katanya.

“Keseluruhannya, kita mempunyai 16 bank yang menawarkan produk pembiayaan Islam. Bagi negara kecil seperti Malaysia, ia adalah agak ‘sesak’, selagi kecil dan berasing-asing, adalah sukar untuk kita berkembang.

“Kemungkinan, akan ada beberapa bentuk penggabungan antara bank Islam, seperti yang telah dilakukan bank konvensional semasa krisis kewangan 1997. Masanya adalah tepat​​​​​​​ untuk penggabungan,” katanya kepada Bernama.

Selepas krisis kewangan Asia 1997-1998, Bank Negara Malaysia mengambil langkah ​​​​​​​berani mengusahakan penggabungan secara besar-besaran membabitkan 58 institusi kewangan, yang terdiri 21 bank komersial domestik, 25 syarikat kewangan dan 12 bank saudagar, menjadi 10 kumpulan perbankan utama.

Kumpulan bank utama itu terdiri daripada Malayan Banking Bhd, Bumiputra-Commerce Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, Arab-Malaysian Bank Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Perwira Affin Bank Bhd, Multi-Purpose Bank Bhd, Southern Bank Bhd dan EON Bank Bhd.

Campur tangan itu, yang dimuktamadkan pada akhir 2000, telah memperkukuhkan sektor perbankan Malaysia dari segi kedudukan pasaran, kecekapan dan modal.

Begitu juga, Zukri turut percaya bahawa pengukuhan bank Islam melalui langkah penggabungan boleh melonjakkan pertumbuhan industri dan membantu mencapai aspirasi negara untuk menjadi hab global bagi perbankan Islam.

Beliau berkata, persaingan sengit telah memperlahankan kadar pertumbuhan purata bank-bank Islam di Malaysia daripada 15 hingga 20 peratus pada kira-kira antara 10 dan 15 tahun lepas kini kepada hanya lima peratus sejak lima tahun lepas.

Malah, bank Islam asing seperti Kuwait Finance House, Asian Finance Bank dan Al Rajhi Bank Malaysia juga terkesan daripada pasaran sengit itu.

“Jika anda melihat kepada angka pada hari ini berbanding 10 tahun lepas, mereka tidak mencatat peningkatan ketara. Mereka hanya mencatat pertumbuhan yang perlahan dan secara berhati-hati,” katanya.

Pada 2014, tiga institusi kewangan terbesar Malaysia – CIMB Group, RHB Capital dan Malaysia Building Society Bhd – berbincang untuk menggabungkan perniagaan mereka dan menubuhkan bank Islam mega, yang berpotensi menjadi antara syarikat pemberi pinjaman terbesar di Asia Tenggara dari segi aset.

Penggabungan tiga pihak itu tidak hanya akan memintas Maybank, bank terbesar Malaysia dari segi aset, untuk berada di kedudukan terkemuka malah cukup besar untuk bersaing dengan institusi kewangan utama dunia seperti HSBC dan Standard Chartered.

Bagaimanapun, rancangan penggabungan itu telah dibatalkan dan tidak dipedulikan ​​​​lagi ​​​berikutan kejatuhan harga minyak mentah pada 2015.

Usaha untuk menubuhkan bank Islam mega di rantau ini, di Malaysia dilihat mula kehilangan momentum, seperti Indonesia yang telah mempertimbangkan untuk menubuhkan bank Islam mega pada 2015.

Rancangan untuk mewujudkan sebuah entiti utama bernilai US$8 bilion melibatkan unit-unit patuh syariah – Bank Negara Indonesia, Bank Mandiri, Bank Tabungan Negara dan Bank Rakyat Indonesia – telah ditangguhkan susulan masalah perundangan dan pengawalseliaan berkaitan keperluan modal.

Zukri berkata, aspirasi untuk membentuk bank Islam mega tidak akan menjadi kenyataan jika peserta pasaran masih berdiam diri tanpa sebarang usaha ke arah matlamat itu.

“Ia sewajarnya didorong oleh pasaran, daripada digesa oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Sehingga akhir 2016, aset perbankan Islam berjumlah 27 peratus daripada keseluruhan sistem perbankan Malaysia yang bernilai RM2.44 trilion.

Kerajaan menyasarkan 40 peratus daripada keseluruhan aset perbankan di seluruh negara mematuhi syariah menjelang 2020.

Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here