Kipre Pemain Terbaik Jun

0
49
Advertisement



 

KUALA LUMPUR: Penyerang import Terengganu FC dari Ivory Coast, Tchetche Kipre sekali lagi mencuri tumpuan apabila menerima Anugerah Pemain Terbaik Liga Super Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) – asiana.my bagi edisi Jun 2018.

Pemilihannya untuk merangkul anugerah itu berdasarkan undian peminat nyata tidak boleh dipertikaikan selepas aksi cemerlangnya meledak lima gol dalam saingan liga bulan lalu sekali gus membantu skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim terus mencabar kedudukan kedua liga.

Kipre yang ditemui selepas menerima anugerah yang disampaikan oleh Penolong Jurulatih Terengganu FC Mohd Din, berkata penghargaan yang diterima itu terus melonjakkan semangatnya untuk membantu skuad Penyu menamatkan kempen di kedudukan lebih baik.

“Anugerah ini saya tujukan khas kepada rakan sepasukan yang memberikan sokongan dan sudah pasti ia tidak akan berlaku tanpa sokongan mereka yang banyak membantu saya untuk menjaringkan gol,” kata Kipre.

“Ini motivasi tambahan kepada saya dan pasukan menjelang pertemuan dengan Selangor pada malam ini yang mana kami berpeluang mendapat tempat kedua dalam saingan liga jika menang perlawanan ini.”

Turut hadir pada majlis itu adalah Presiden PFAM Rezal Zambery Yahya, Bendahari PFAM Rudie Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail.

Untuk rekod, ini kali kedua Kipre memenangi anugerah pemain terbaik bulanan selepas dia dinobatkan pada edisi September 2017 dalam saingan Liga Perdana musim lalu.

Kali ini dia mendapat undian sebanyak 41.33% (968 Undi) untuk menewaskan empat calon lain – Rufino Segovia dari Selangor (32.32% – 757 Undi), Hariss Harun (14.69% – 344 Undi) dan Fernando Marquez dari JDT (7.98% – 187 Undi) serta Indra Putra Mahayudin dari Kuala Lumpur (3.67% – 86 Undi).

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here