Kisah kejayaan usahawan jeruk 'Pak Ali' warnai karnival kewangan BNM

0
53
Advertisement

ALOR SETAR: Kisah kejayaan usahawan jeruk terkenal Pulau Pinang, Pak Ali, merupakan antara sorotan utama yang diketengahkan dalam karnival kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), bagi berkongsi kejayaannya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusan Pak Ali Industries Sdn Bhd, Alias Ali berkata, bermula daripada hanya perniagaan kecil-kecilan dengan berbekalkan wang saku sebanyak RM15, perusahaan Pak Ali kini telah berkembang pesat hingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Brunei, Singapura dan malahan hingga ke Ireland.

Alias berkata kerajaan menerusi agensi-agensinya telah menyediakan banyak insentif kepada PKS untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan.

Justeru itu, katanya, syarikat-syarikat tempatan perlu berusaha keras untuk meningkatkan perniagaan mereka agar kekal relevan serta dapat mengekalkan pendapatan mereka.

“Saya dan anak-anak banyak menghadiri kursus-kursus dan program di kendalikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) umpamanya, dan di situlah kami menimba ilmu untuk memperbaiki kualiti produk dan pada masa yang sama mempelajari perkara baharu.

“Kini semuanya banyak dilakukan secara automatik di mana ianya dapat dikawal melalui telefon bimbit,” katanya kepada pemberita pada karnival yang berlangsung selama tiga hari itu yang bermula semalam.

Beliau berkata syarikat itu banyak menggunakan teknologi dalam mempercepatkan proses perniagaannya terutamanya untuk mengira stok dan akaun.

Bagaimanapun, Alias menegaskan syarikat itu masih terus menggunakan tenaga kerja kerana ia mahu berkongsi pendapatan dengan mereka.

“Buah-buahan kami masih lagi dipotong secara manual iaitu menggunakan pekerja tempatan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi moden. Ini kerana kami mahu membantu meningkatkan taraf hidup orang kampung.

“Bermula dengan pekerja seramai enam orang pada tahun 2009, kami kini mempunyai lebih daripada 400 orang pekerja dan mereka berjaya memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan,” katanya.

Alias berkata, selain jeruk buah-buahan sebanyak 28 jenis , syarikat Pak Ali turut menjual produk lain termasuklah dodol, jus buah pala, sos rojak dan sambal ikan bilis.

Menurutnya, syarikat itu kini menjual lebih kurang 300 tan jeruk setiap bulan (berbanding 10 tan pada tahun 2009) melalui 50 stokis di seluruh negara.

Syarikat tersebut pada tahun lepas telah dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah Agropreneur Cemerlang dalam Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2017. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here