Kita dapat tonik ke AFC – Bojan Hodak

0
289
Advertisement



SEPANG: Kejayaan skuad bawah 19 tahun (B-19) negara menjuarai Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Surabaya, Indonesia semalam mampu menjadi tonik terbaik menjelang Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Oktober depan.

Jurulatih skuad negara, Bojan Hodak mengakui kejayaan menewaskan Myanmar 4-3 sekali gus melakar sejarah menjulang trofi itu buat kali pertama membakar semangat pemain, namun mahu bersikap lebih realistik untuk menghadapi Kejuaraan AFC B-19 dengan status pasukan bukan pilihan.

“Sesuatu yang hebat untuk memenangi kejuaraan ini buat kali pertama. Kemenangan ini boleh bantu pemain tampil lebih yakin untuk menghadapi aksi selepas ini terutamanya Kejuaraan AFC.

“Namun, kita tidak boleh letakkan harapan terlalu tinggi, sebaliknya cuba menghadapinya satu demi satu perlawanan dan mencipta kejutan.

“Bagusnya, kita tidak ada tekanan seperti dihadapi Indonesia dan kita akan mulakan saingan sebagai pasukan bukan pilihan,” katanya sejurus tiba bersama pasukan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), hari ini.

Kejuaraan AFC juga akan dilangsungkan di Indonesia dan akan bermula pada 18 Oktober hingga 4 November ini. 

Malaysia diundi dalam D bersama Arab Saudi, Tajikistan dan China.

Pada final AFF semalam, pemain tengah negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat muncul wira apabila meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan babak kedua.

Mengulas lanjut ketika skuad negara ketinggalan 3-2 kepada Myanmar, Hodak mengakui sikap tenang pemainnya jadi kunci kepada kejayaan berkenaan.

“Ketika waktu rehat separuh masa, saya ingatkan pemain supaya bersabar, main secara tersusun, ikut perancangan yang sudah diatur dan jangan panik.

“Kami jangka Myanmar akan keletihan pada 20 minit terakhir dan sukar ikut rentak kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here