Kita perlu tingkatkan penyertaan di pasaran utama Eropah – Mustapa

0
155
Advertisement

KUALA LUMPUR: Misi perdagangan dan pelaburan ke Eropah, diterajui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed diteruskan ke Amsterdam dan Brussels, mempertemukan syarika-syarikat utama Malaysia dengan pelabur berpotensi terutamanya dalam bidang pertumbuhan yang disasarkan dalam sektor inovasi dan perkhidmatan.

“Penting bagi Malaysia untuk sentiasa berada dalam radar syarikat multinasional dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Eropah. Bagi mencapai matlamat ini, kita perlu meningkatkan penyertaan kita di pasaran perdagangan dan pelaburan utama.

“Bagi pasaran-pasaran utama ini, kita perlu bertemu dengan mereka sekurang-kurangnya setahun sekali bagi memaklumkan tentang perkembangan terkini pembangunan mutakhir ekonomi kita, peluang perniagaan dan daya tarikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan utama,” kata Mustapa dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Minat terhadap ekonomi Malaysia kian meningkat dalam kalangan komuniti perniagaan Belanda dan banyak syarikat negara itu yang memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia sebagai pintu masuk mereka ke ASEAN, katanya mengenai misi perdagangan tersebut yang diadakan dari 19-20 Okt.

Menurutnya, sehingga 2016, 249 projek dengan penyertaan syarikat Belanda bernilai RM21.6 bilion telah dilaksanakan di Malaysia menjadikan Belanda sebagai pelabur kedua terbesar negara dari Kesatuan Eropah (EU) selepas Jerman.

“Pelaburan ini adalah dalam sektor utama seperti elektrik dan elektronik, pembuatan makanan dan peralatan saintifik. Terdapat kira-kira 150 syarikat Belanda yang beroperasi di Malaysia termasuk Shell, Dutch Lady, Vopak dan NXP Semiconductor”,” kata Mustapa.

Selain Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global bernilai RM2.6 bilion yang ditubuhkan oleh Shell di Kuala Lumpur dengan pekerja seramai kira-kira 1,700 orang, banyak syarikat Belanda memilih Malaysia untuk membuka kemudahan serantau mereka termasuk Benchmark Electronics, Mylaps BV dan Kraton Polymers.

Semasa seminar di Amsterdam dan Brussels itu, dua PKS Belanda iaitu BE Semiconductor Industries (BESI) dan Enza Zaden berkongsi pengalaman positif mereka melabur di Malaysia serta perspektif mereka sendiri mengenai kapasiti modal insan di negara ini.

Antara lainnya, kedua-dua syarikat itu menyebut mengenai modal insan berkualiti tinggi yang tersedia di Malaysia terutamanya dalam bidang teknologi dan penjenteraan dan budaya kerja yang kuat dalam kalangan rakyat Malaysia.

BESI yang berpangkalan di Shah Alam dengan 430 pekerja itu terlibat dalam pengeluaran semikonduktor berkaitan mesin dan peralatan dan terus menjadikan Malaysia sebagai pangkalan serantaunya bagi menyediakan kepada pasaran Asia Pasifik.

Enza Zaden, PKS Belanda yang menghasilkan biji benih pertanian telah memilih Perak untuk membuka pusat penyelidikan dan pembangunannya dan pusat pembiakan tanah tinggi yang diberikan status Bio Nexus.

“Ketika Belanda berusaha meletakkan diri mereka sebagai ekonomi pengetahuan global, terdapat banyak peluang besar bagi Malaysia untuk menarik pelaburan baharu dari negara itu terutamanya dalam bidang ekonomi baharu seperti tenaga boleh baharu, biojisim, pemula niaga dan Internet Of Things.

“Malaysia sedang menempuh fasa pembangunan menarik menerusi inisiatif dalam bidang seperti ekonomi digital. Pembangunan ini memberi peluang perniagaan baharu kepada syarikat-syarikat Belanda, khususnya dalam sektor yang dipacu inovasi serta berasaskan perkhidmatan,” katanya.

Menurut Mustapa, ini termasuk konsortium Belanda, Palmares yang merangkumi beberapa syarikat dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti Energy Transformers dan DMT Technology yang meninjau peluang di Malaysia dalam bidang rawatan sisa minyak sawit.

Selain itu, sebuah syarikat berskala tinggi Belanda, Saleduck pula terbabit dalam bidang e-dagang (e-kupon) di Malaysia manakala syarikat lain seperti Poet Farmer dan Lizard Apps pula dalam pembangunan aplikasi.

Beliau berkata, syarikat PKS terkemuka seperti KMWE yang menumpukan aktiviti pengeluaran sistem kepersisan dan komponen industri semikonduktor juga berkembang pesat di Malaysia iaitu daripada 11 pekerja pada 2009 kini mencecah 200 orang pada 2017.

Menurutnya, KMWE turut merancang untuk mengembangkan lagi operasi di Malaysia termasuk dalam sektor aeroangkasa.

Mustapa turut mengambil peluang mengunjungi Pusat Teknologi Tinggi Brainport Industries Campus di Eindhoven yang menempatkan lebih 140 syarikat, institusi dan kira-kira 10,000 penyelidik, pemaju serta usahawan yang terbabit dalam usaha pembangunan teknologi serta produk masa depan.

Pusat itu merupakan peneraju dalam bidang penyelidikan baharu termasuk Penyepaduan Fotonik, Kecerdasan Buatan dan Kecerdasan Maya.

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan sokongan pihak Brainport High Tech Campus, akan menganjurkan satu seminar di Malaysia pada awal 2018 bagi meningkatkan kesedaran mengenai kejayaan peranan kerangka kerja Triple Helix dalam usaha memastikan aspek daya saing industri Belanda.

Selain itu, misi berkenaan diteruskan dengan mesyuarat meja bulat membabitkan 10 syarikat terkemuka Belgium di Brussels.

Setakat bulan Jun 2017, pelaburan Belgium yang dilaksanakan adalah bernilai RM743.6 juta, sekali gus menjadikannya antara pelabur utama dari rantau EU.

Pelaburan berkenaan berjaya mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dalam sektor-sektor utama seperti produk mineral bukan metalik, kimia serta E

Antara syarikat besar yang bertapak di Malaysia adalah Lhoist Chemicals, Oleon dan Melexis.

Beberapa syarikat Belgium yang sudah beroperasi di Malaysia juga sedang meninjau untuk mempertingkatkan kapasiti pengeluaran dalam usaha memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia sebagai pintu masuk ke rantau ASEAN.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here