'Kita semua semakin berusia, sampai bila kita nak rock?' – Awi Rafael

0
90
Advertisement

SEIRING dengan pertambahan usia, Awi Rafael nekad untuk berhijrah menjadi lebih baik, selepas ini.

Malah, selebriti berusia 32 tahun ini turut menyifatkan tahun 2018 sebagai tahun hijrahnya.

Rentetan itu, pelantun lagu Bila Aku Jatuh Cinta ini bersedia untuk melalui proses transformasi sama ada berbentuk peribadi mahupun  muzik.

“Saya mahu hijrah ke arah yang lebih baik. Sampai bila kita nak rock & roll?

“Lagipun, kita semua semakin berusia dan saya pun belajar untuk mendekatkan diri pada agama,” katanya pada Sinar Harian selepas pengumuman peserta bagi program realiti, Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2).

Awi yang juga komposer dikenali menerusi genre muzik pop dan balada turut tersenarai sebagai salah seorang peserta GGV2.

Selain Awi, peserta lain yang terlibat adalah kumpulan Brothers, Devotees, InTeam, Mestica, Rabithah, Heliza & Hazwani (pasangan duo), Adeep Nahar, Farah Asyikin, Fitri Haris dan Ippo Hafiz.

“Saya sangat berterima kasih dengan tawaran yang diberikan.

“Jujurnya, saya tak ada masalah untuk sertainya kerana semua pun tahu saya dah mula menulis lagu-lagu yang berunsur ke arah ketuhanan.

“Kiranya, penyertaan saya sebagai satu inisiatif baharu dalam menarik minat generasi muda melalui pembawaan lagu yang lebih moden,” katanya.

Namun, penyanyi lagu Manusia Sempurna ini mengakui akan terus kekal menjadi diri sendiri.

“Apa-apa pun, saya tetap jadi diri sendiri. Saya ada cara tersendiri.

“Lagipun, Islam sendiri tak judge¬†(menghukum) berdasarkan dari luaran tapi intinya menerusi lagu-lagu yang disampaikan.

“Insya-ALLAH, saya akan perbaharui diri saya dengan muzik melalui GGV2. Saya harap peminat akan terus menyokong saya,” katanya.

GGV2 akan dipancarkan secara langsung selama tujuh minggu dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu jam 9 malam, mulai 31 Mac ini.

Ia juga akan bersiaran langsung menerusi saluran Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Dalam perkembangan lain, Awi bakal melancarkan album terbaharunya, Euphoria yang memuatkan lapan lagu.

Lebih istimewa, album itu turut diselitkan lagu yang dicipta khas buat tunang tersayang iaitu pelakon popular, Atikah Suhaimie.

“Lagu Rahasiaku ini saya cipta ketika dalam proses mengenali hati budi dia.

“Selain itu, saya juga ada berkolaborasi dengan penyanyi-penyanyi lain seperti Altimet dan Yasin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here