'Kita tak tahu niat orang' – Aaron Aziz

0
83
Advertisement

MESKIPUN tiga anaknya aktif di media sosial,  Datuk Aaron Aziz mengakui belum terfikir untuk mengupah pengawal peribadi bagi menjaga keselamatan mereka.

Ini kerana, selebriti berusia 42 tahun ini masih mampu untuk menjaga dan mengawal keselamatan anak-anaknya iaitu Danish Anaqi, 14 tahu, Dwi Ariana,12 tahun, dan Dahlia Arissa, 8 tahun.

“Bodyguard? Tak ada. Belum terfikir pun lagi.

“Insya-ALLAH, saya masih mampu menjaga keluarga,” katanya pada Sinar Harian ketika ditemui selepas pelancaran program Oh My Family!.

Malah, bintang filem Kau Yang Satu ini  menjelaskan media sosial seperti Instagram anak-anaknya hanya wujud selepas mereka faham kebaikan dan keburukan serta fungsinya.

“Bila mereka dah faham, baharulah mereka boleh handle sendiri dan tahu menggunakannya.

“Mereka juga kena pandai menjaga diri di dunia media sosial. Tapi, jika ada yang bersifat melampau, mereka terus mengadu pada saya.

“Saya selalu tekankan sosial media adalah perkara yang kita nak kongsi atau for fun,” katanya.

Pada masa sama, Aaron juga memantau penggunaan media sosial anak-anaknya agar tidak terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan pemikiran dan jati diri.

“So far, saya dan isteri memang dah monitor dari awal. Kita akan selalu check mereka guna sosial media untuk apa. Kadang-kadang, kita juga semak history apa yang mereka cari. Alhamdulillah nothing bad.

“Kita juga hanya benarkan mereka menggunakan handphone dalam tempoh sejam sekiranya di hari biasa. Tapi, jika waktu cuti, kita beri sedikit kebebasan.

“Kita juga sentiasa ingatkan perkara wajib jangan dilupakan terutama mengaji dan solat lima waktu. Jika ingkar, kita rampas telefon berkenaan. Alhamdulillah, mereka dengar kata,” katanya.

Mengenai langkah keselamatan pula, bintang filem Tembus ini turut membimbing anak-anaknya dengan menetapkan beberapa perkara.

“Saya selalu ingatkan kalau berpakaian seragam sekolah jangan sesekali muat naik gambar atau meletakkan lokasi sekolah.

“Begitu juga kalau di luar agar tidak menyatakan di mana mereka berada.

“Bagi saya, ini langkah awal untuk mencegah daripada sebarang masalah. Dalam zaman teknologi, apa saja boleh berlaku,” katanya.

Pun begitu, Aaron juga menyerahkan segalanya kepada ketentuan takdir.

“Saya sentiasa tawakal dan berserah kepada ALLAH.

“Lagipun, kita tak tahu niat orang macam mana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aaron dan anak bongsunya, Dahlia Arissa bakal menjayakan program terbaharu, Oh My Family!

Selain keluarganya, program ini turut menampilkan gelagat anak-anak Datuk Fazley Yaakob, Rita Rudaini, Azad Jazmin dan Aziz M. Osman.

Ia bakal bersiaran di saluran Astro Ria (104), Astro Ria HD (123) dan Astro Ceria (611) pada setiap Rabu, jam 9 malam bermula 11 April depan.

Selain itu, Aaron baharu sahaja terbabit dalam filem aksi Operasi X yang turut menampilkan Datuk Yusof Haslam, Datuk Awie, Hairul Azreen, Nasir Bilal Khan dan ramai lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here