KJ 'korek' rancangan Dr M terhadap kerjasama Proton, Geely

0
57



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pada setiap masa menentang pembelian saham Proton oleh entiti asing, malah pernah mempertimbangkan kerjasama dengan Geely Holding Group Co Ltd.

Pengguna media sosial, termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, “mengorek” semula laporan berita-berita lama mengenai keterbukaan Mahathir terhadap idea-idea seperti itu pada masa lalu.

Salah satu artikel yang menyebut perkara itu disiar pada Jun 2014 dalam Nikkei Asian Review bertajuk “Mahathir seeks to turn Malaysia’s Proton around with Geely’s help“.

Artikel yang lain disiarkan Utusan Malaysia pada Jun 2005 bertajuk “Mahathir: Volkswagen Boleh Saham beli Proton”.

Mahathir pada Khamis lalu memberi reaksi negatif terhadap berita bahawa Geely telah memperoleh pegangan 49.9 peratus dalam Proton.

Beliau berkata, “anak saya hilang. Dan tidak lama lagi negara saya”, sambil menambah beliau bimbang ini memberi isyarat lebih banyak aset Malaysia akan dijual kepada negara asing.

Mengulas kenyataan Mahathir, Khairy (gambar) menulis tweet “Nothing left to see. Move on”, bersama-sama dengan tangkap layar artikel Nikkei dan Utusan.

Artikel Nikkei menyebut Mahathir, bersama-sama bos DRB Hicom Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, telah pergi ke China pada bulan April 2014, di mana beliau merangka satu perjanjian perkongsian antara Proton dan Geely dalam usaha memulihkan Proton.

Artikel Bernama pada Mei tahun itu, memetik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai berkata bahawa jika perjanjian itu dimeterai, Proton akan menjadi kereta berdasarkan model Geely.

Sementara itu, dalam artikel Utusan pada tahun 2005, Mahathir yang ketika itu penasihat Proton dipetik sebagai berkata: “Kita tidak mempunyai masalah jika Volkswagen membeli saham Proton.”

Beliau berkata demikian sebagai mengulas spekulasi sama ada Volkswagen akan membeli Proton, berikutan perjanjian antara kedua-duanya.

Artikel yang sama memetik laporan berita Jerman bahawa Volkswagen menafikan sebarang rancangan untuk membeli saham Proton.

Proton, yang diasaskan oleh Mahathir pada tahun 1983, menerima RM1.5 bilion bantuan kerajaan pada tahun lalu dengan syarat mengubah pelan pemulihan dan mencari rakan kongsi asing.

Selain memperoleh 49.9 peratus kepentingan dalam Proton, Geely juga akan memperoleh 51 peratus ke atas jenama kereta sport British Group Lotus Plc, yang merupakan anak syarikat milik penuh Proton Holdings. Bakinya akan diperoleh oleh Etika Automobile Sdn Bhd.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here