K'jaan K'tan lancar tong sampah buang dan tebus

0
51



Kerajaan Kelantan melancarkan tong sampah buang dan tebus bagi menggalakkan penduduk di negeri ini mengamalkan kitar semula dan membuang sampah secara tersusun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abd Fattah Mahmood berkata tong berkenaan merupakan rekaan anak tempatan dan yang pertama seumpamanya di negara ini.

“Menerusi tong sampah buang dan tebus ini, penduduk perlu mengumpulkan sekurang-kurangnya 50 unit barang terbuang yang boleh dikitar semula sebelum membuang bahan berkenaan ke dalam tong yang disediakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Madinah Ramada di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu semalam.

Beliau berkata pengguna akan memperoleh resit yang boleh ditebus dengan wang tunai di kedai-kedai yang bakal dilantik kerajaan negeri selepas ini.

Abd Fattah berkata sebagai permulaan, kerajaan negeri akan menempatkan tong-tong berkenaan di beberapa pasar raya di jajahan ini sebelum Aidilfitri bagi mendidik masyarakat menjaga kebersihan tanpa mengira masa dan tempat.

Sementara itu, Pengurus Kitar Pro Management Tengku Mohd Fadhil Tengku Hamzah berkata buat permulaan pihaknya akan menempatkan lima tong berkenaan yang berharga antara RM2,000 dan RM4,000.

Beliau berkata inovasi yang dimulakan sejak 10 tahun lepas itu akan digunakan secara meluas di negara ini bagi mendidik masyarakat menjaga kebersihan.

– Bernama
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here