KL goyang tanpa Indra, De Paula

0
188
Advertisement



JOHOR BAHRU: Pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel tidak menolak kekalahan 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi terakhir Liga Super, malam tadi, berpunca daripada ketiadaan dua tonggak utama.

Maciel berkata, Indra Putra Mahayuddin terpaksa diketepikan kerana digantung satu perlawanan manakala Guilherme de Paula mengalami kecederaan dan perlu direhatkan bagi memastikan pemain itu bersedia untuk kempen Piala Malaysia yang menyingkap tirai awal Ogos ini.

Katanya, sukar untuk berdepan JDT dengan hanya dua pemain import iaitu Bobirjon Akbarov dan Paulo Josue sekali gus gagal mengimbangi kekuatan skuad kendalian Raul Longhi yang begitu tersusun untuk menguasai perlawanan.

“Walaupun tewas kami melaksanakan tugas dengan baik apabila menghalang beberapa gerakan berbahaya JDT dan bayangkan mereka dibarisi enam pemain [import’ sedangkan kami hanya turun dengan dua pemain import sahaja.

“Kami sedar betapa sukar untuk menandingi JDT, kami beri tekanan dalam aksi itu yang menyebabkan mereka tampak hilang rentak dan berjaya menghalang gerakan berbahaya bagi mengelak gawang dibolosi.

“Selain itu, saya akui sukar beraksi di Larkin yang dianggap kubu kuat JDT tetapi saya tetap berpuas hati dengan kesungguhan setiap pemain Kuala Lumpur yang cuba menyaingi kehebatan pasukan juara Liga Super untuk lima musim berturut-turut,” katanya.

Ditanya mengenai persembahan skuad Warga Kota sepanjang saingan liga elit domestik musim ini, Maciel jelas gembira dengan komitmen setiap pemain apabila menamatkan saingan di tangga kesembilan dan kekal musim depan.

Menurutnya, tiada perubahan akan dilakukan tatkala rata-rata pemain yang membawa kejayaan Kuala Lumpur menjuarai Liga Perdana musim lalu dikekalkan dan hanya penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua.

Menurutnya, tumpuan kini terarah untuk mengharungi kempen Piala Malaysia tatkala membuat penampilan musim ketiga dan tampak ingin memperbaiki pencapaian berbanding dua musim lalu.

“Sudah tentu kami mahu membaiki pencapaian dua musim lalu dan sasaran utama adalah melepasi saingan kumpulan selepas tersangkut dalam aksi kumpulan, dua tahun berturut-turut. Malah kami mengharapkan pengalaman bersaing di suku akhir Piala FA untuk mengharungi saingan Piala Malaysia,” kata Maciel.

SHARE
Previous articleJDT tak gusar
Next articleElavarasan puas hati

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here