KL hantar NS ke Liga Perdana

0
237
Advertisement



NEGERI Sembilan (NS) sah mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super sekali gus ‘diturunkan pangkat’ beraksi di saingan Liga Perdana musim hadapan.

Ia susulan kemenangan 2-1 yang dilakar Kuala Lumpur (KL) ke atas pasukan itu pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

Ketika KL hanya memerlukan keputusan seri untuk terus kekal dalam Liga Super, kemenangan membolehkan skuad kendalian Fabio Maciel itu mengutip 24 mata.

Ia sekali gus menyaksikan KL selesa dengan kelebihan sembilan mata mengatasi NS yang menghimpun 15 mata ketika saingan masih berbaki satu perlawanan lagi.

Negeri Sembilan juga ketinggalan enam mata di belakang pasukan di tangga ke-10, Selangor dan kemenangan ke atas Melaka United pada aksi terakhir tidak memberi apa-apa makna kepada pasukan itu.

Aksi agak seimbang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan, namun beberapa gerakan yang dilakukan gagal menghasilkan percubaan bahaya ke kubu lawan masing masing dalam tempoh 10 minit pertama.

NS terlebih dahulu dikejutkan menerusi tandukan Guilherme de Paula hasil hantaran lintang Syazwan Andik pada minit ke-11, namun mereka menarik nafas lega apabila jaringan terbabit dibatalkan susulan penyerang kelahiran Brazil itu sudah berada dalam keadaan ofsaid.

Pelawat turut beroleh peluang terbaik untuk membuka jaringan menerusi serangan balas pantas namun percubaan Fakrul Aiman Sidid selepas berjaya memperdaya pertahanan KL sedikit tersasar ke bahagian kiri pintu gol tuan rumah tiga minit berselang.

Gol pembukaan akhirnya menjadi milik KL selepas sepakan sudut Paulo Josue disudahkan oleh Bobirjon Akbarov yang meledak gol ketiga peribadinya bersama pasukan itu ketika separuh masa pertama berbaki empat minit.

Bagaimanapun, kegembiraan KL hanya bertahan dua minit apabila Alex Moraes berjaya menanduk masuk jaringan penyamaan pada minit ke-43 sekali gus membolehkan kedua dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat separuh masa pertama.

Babak kedua bersambung, NS lebih menguasai permainan dan melancarkan beberapa serangan namun kubu pertahanan KL cemerlang menutup ruang bagi memastikan mereka tidak dibolosi sekali lagi.

Penyerang veteran, Indra Putra Mahayuddin akhirnya ‘membunuh’ semangat pelawat apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-86 sekali gus menghantar NS ‘pulang’ ke Liga Perdana hanya selepas semusim mewarnai saingan itu pada musim ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here