KLIA menang Anugerah Pemasaran Laluan Asia 2018

0
130
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah memenangi Anugerah Pemasaran Laluan Asia 2018 untuk kategori keseluruhan serta kategori ‘Lebih 20 Juta Penumpang’, menewaskan hab lain di rantau ini.

Anugerah Pemasaran Laluan Asia tahunan itu dianggap sebagai penghargaan tertinggi dalam pembangunan laluan dan industri penerbangan kerana mereka diundi dan diadili oleh komuniti perancangan rangkaian syarikat penerbangan.

Ia mengiktiraf perkhidmatan pemasaran cemerlang yang telah menyokong pelancaran laluan udara baharu atau pembangunan perkhidmatan sedia ada, kata MAHB dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada 2017, sembilan syarikat penerbangan baru terbang ke Kuala Lumpur dan 25 laluan baru telah dilancarkan, sementara keseluruhan lalu lintas penumpang meningkat 11.2 peratus kepada 58.6 juta dan tambahan 30,535 pergerakan pesawat komersil dicatatkan, menjadikannya 386,054 pergerakan.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) muncul sebagai pemenang dalam kategori ‘Penumpang Lebih 20 Juta’, menewaskan lima lagi lapangan terbang yang disenarai pendek.

“Malaysia Airports sangat berinovasi dalam mewujudkan strategi pemasaran syarikat untuk mempromosi destinasi yang dikehendaki,” katanya.

Menurutnya, Malaysia Airports juga mengadakan beberapa misi ke Eropah, ASEAN, Asia Selatan, India dan China untuk bertemu lebih 30 syarikat penerbangan di ibu pejabat mereka bagi memasarkan KLIA sebagai hab yang berkembang pesat.

Sebagai pemenang keseluruhan, KLIA akan disenarai pendek secara automatik untuk Anugerah Pemasaran Laluan Dunia di Guangzhou pada September.

Malaysia Airports adalah satu daripada kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia dari segi jumlah penumpang dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here