Komplot doktor, pembantu makmal

0
57



Shah Alam: Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, mengarahkan pakar patologi Kolonel Dr R Kunaseegaran membela diri bagi enam pertuduhan menyalahgunakan peralatan tanpa pengetahuan majikannya.

Hakim Slamat Yahya turut memerintahkan bekas pembantu juruteknologi makmal Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Yazid Lamin, 47, membela diri terhadap tiga pertuduhan bersubahat bersama Dr Kunaseegaran, 54, dengan membawa keluar peralatan makmal patologi hospital berkenaan.

Mahkamah menetapkan 22 dan 23 Jun ini untuk kedua-dua tertuduh membela diri.

Slamat ketika membuat keputusan berkata, berdasarkan keterangan semua saksi pendakwaan dan eksibit yang dikemukakan di mahkamah, timbul isu sama ada Dr Kunaseegaran berada di klinik ketika peralatan itu dibawa keluar termasuk sama ada ia digunakan untuk kegunaan sendiri atau tujuan latihan.

“Selepas membuat penilaian maksimum, keterangan menunjukkan peralatan berkenaan dibawa keluar dari HATMM ke klinik dan menjadi kesalahan untuk membawa keluar peralatan itu,” katanya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan seramai 23 saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan itu.

Terdahulu, peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Dr Kunaseegaran dan Yazid memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil dua saksi iaitu kedua-dua tertuduh yang akan memberi keterangan kepada mahkamah.

Dr Kunaseegaran sebelum ini didakwa menggunakan harta kepunyaan HATMM termasuk alat Microtome, Microtome Rotary System dan Circular Parafin Floating Bath tanpa pengetahuan pihak hospital berkenaan di No 23 dan No 26 Galeri Empire, Jalan Empayar Off Jalan Sultan Ibrahim, Klang pada Jun 2010 dan April 2012.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here