Konsep klasik kad kahwin idea abang – Ummi

0
18


KAD Kahwin Ummi Nazeera. – Foto Ihsan Instagram Ummi

KUALA LUMPUR: Menyerahkan tanggungjawab mencorak kad jemputan perkahwinan kepada abangnya, Ummi Nazeera, 27, nyata berpuas hati dengan konsep klasik yang memenuhi cita rasanya.

Bakal mendirikan rumah tangga pada Ogos depan, pelakon itu mengakui teruja melihat cetusan idea Nazrim, yang menggubah kad berkenaan bersandarkan papan cerita.

“Alhamdulillah, hingga kini persiapan sudah 80 peratus selesai. Boleh dikatakan abang, Nazrim bersama ibu saya antara tulang belakang yang membantu menyempurnakan persediaan untuk majlis pernikahan dan persandingan.

“Idea kad kahwin seperti ‘story book’ atau papan cerita ini juga diilhamkan abang saya, yang turut bertanggungjawab mengendalikan urusan cenderahati dan baju keluarga.

“Cuma, saya belum berkesempatan untuk mengedarkannya. Urusan ini agak memeningkan kepala dan pada masa sama, sayatidak mahu ada pihak yang tidak mendapat jemputan.

“Mengenai pemilihan pelamin, dekorasi resepsi, majlis pernikahan dan senarai jemputan, ia pilihan saya sendiri, malah saya juga mencari penyanyi kegemaran untuk membuat persembahan pada hari perkahwinan saya nanti,” kata Ummi kepada BH Online.

Pasangan ini ditunangkan dalam sebuah majlis tertutup pada 11 Disember tahun lalu. Kedua-duanya berkenalan menerusi ibu pemuda terbabit pada sebuah majlis, 29 Januari tahun lalu.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Ummi terbabit dalam drama kolaborasi antara Suhan Movies dan SME Corp Malaysia, berjudul Chor & Chah.

Drama yang bakal disiarkan di YouTube dalam tempoh terdekat itu turut menampilkan pelakon Saharul Ridzwan, Hafreez Adam dan Luqman Hafidz.

Selain itu, filem lakonan Ummi yang berjudul Bisik Pada Langit dijangka berada di pawagam pada 21 September ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here