Konsisten bekal rumpai laut

0
14



Seramai 20 ahli Persatuan Pengusaha Rumpai Laut Langkawi bakal menjana pendapatan lebih RM3,000 sebulan melalui Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP).

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) melaksanakan BCDP melalui dana Inovasi Sosial MOSTI (MSI).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, rumpai laut semakin mendapat permintaan sebagai bahan makanan, kosmetik dan penjagaan diri.

Beliau berkata, melalui projek di Langkawi ini, syarikat peneraju akan mendapat bekalan rumpai laut yang konsisten untuk diproses menjadi carrageenan untuk dipasarkan di seluruh dunia.

“Potensi eksport produk rumpai laut dalam bentuk ini adalah besar terutama di Asia kerana ia berfungsi sebagai pemekat untuk produk seperti ubat gigi, losyen dan pencuci muka serta alternatif halal untuk gelatin.

“Langkawi terpilih untuk menerima dana MSI dalam penghasilan rumpai laut disebabkan suhu dan tahap kemasinan yang kondusif untuk pembiakan rumpai laut secara komersial. Tambahan juga, ia potensi untuk perusahaan Aqua-Tourism.

“Gabungan pelbagai aktiviti ekonomi ini dijangka dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menjana pendapatan tambahan dan akan membantu meningkatkan mobiliti sosial komuniti terbabit,” katanya selepas merasmikan majlis penyerahan MSI BCDP bagi projek akuakultur rumpai laut kepada Persatuan Pengusaha Rumpai Laut Langkawi, Kedah, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi dan Inovasi) MOSTI Prof Madya Dr Ramzah Dambul.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp Syed Agil Syed Hashim dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Rumpai Laut Langkawi Hashim Saad.

Madius berkata, dalam jangka panjang, projek ini akan dikembangkan dengan membabitkan lebih ramai ahli persatuan berkenaan.

“Projek akuakultur rumpai laut yang dilancarkan ini adalah projek perladangan kontrak bersama syarikat peneraju Langkawi Aquaculture Sdn Bhd (LASB) membabitkan 20 ahli persatuan terbabit.

“LASB berhasrat mengembangkan industri rumpai laut di perairan ini dan menjadikan Langkawi sebagai pusat pengeluaran rumpai laut di Malaysia setanding industri rumpai laut di Semporna, Sabah,” katanya.

Menurutnya, menggunakan dana MSI, syarikat peneraju membekalkan benih permulaan dan sangkar rumpai laut serta memberikan latihan kepada peserta untuk menjaga dan menghasilkan rumpai laut secara komersial.

“Sebagai permulaan, benih rumpai laut yang telah matang akan diperbanyak dan dibiak di dalam sangkar di kawasan Pulau Gasing.

“Pada kapasiti penuh, kawasan ini mempunyai keupayaan untuk menempatkan 100 sangkar rumpai laut dengan penghasilan 700 kilogram (kg) bagi setiap sangkar.

“Pendapatan ahli Persatuan mampu mencecah lebih RM3,000 sebulan. Selain rumpai laut, ikan dan hidupan laut lain juga boleh diternak di dalam sangkar sebagai penternakan selingan dengan tujuan menjana pendapatan tambahan,” katanya.

Sementara itu, Syed Agil berkata, LASB memberi jaminan belian balik bagi rumpai laut yang dihasilkan peserta Persatuan. Peserta diberi latihan untuk menjaga dan memperbanyakkan rumpai laut dengan menghasilkan benih rumpai laut baru daripada rumpai laut yang sudah matang.

“LASB juga membekalkan sejenis sangkar rumpai laut yang menggunakan teknologi Langkawi Aquaculture Integrated Farming Enclosure (LIFE) kepada peserta. LIFE ini lebih fleksibel, mesra alam sekitar dan lebih kuat berbanding sangkar konvensional.

“Projek MSI diserahkan secara rasmi kepada persatuan ini kerana berjaya menjalankan projek akuakultur rumpai laut dengan bimbingan LASB dan Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here