Koperasi bawah Narsco disaran bergabung, jana lebih pendapatan

0
42

KUALA LUMPUR: Kesemua 64 koperasi di bawah Koperasi Pekebun Kecil Getah Nasional Berhad (Narsco) disarankan supaya bergabung membentuk entiti yang lebih kukuh demi kepentingan ahlinya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembentukan entiti tersebut penting bagi memastikan koperasi dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi dan membawa pulangan dividen kepada ahli.

“Mungkin selepas ini koperasi boleh  bergabung kerana koperasi mempunyai kelebihan dan mempunyai  potensi besar… tapi kalau bersaing sesama sendiri, ia tak akan memberi kesan.

“Mereka yang menguruskan koperasi mestilah orang yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang, bukannya dilantik sesama sendiri yang menyebabkan koperasi tak akan berkembang dan akhirnya ditutup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Koperasi Pekebun Kecil dan Mesyuarat Agung Tahunan Narsco ke-33 di sini, hari ini. Turut hadir Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Pengerusi Narsco Datuk Zamri Yaakob.

Ismail Sabri berkata bagi membantu meningkatkan pendapatan koperasi, kementerian juga mengarahkan Risda membantu Narsco dengan mendahulukan koperasi itu dalam setiap projek yang dijalankan.

“Risda di peringkat nasional dan daerah mesti memberi keutamaan kepada koperasi-koperasi Risda berkuat kuasa pada Selasa.

“Risda berfungsi untuk membantu pekebun kecil…Risda mempunyai banyak projek, jadi daripada mereka (Risda) beri kepada pihak yang tiada kaitan dengan mereka, lebih baik projek itu diberi kepada koperasi kerana yang mendapat faedahnya juga adalah pekebun kecil yang merupakan ahli koperasi,” katanya.

Pada majlis tersebut, Narsco yang merupakan badan induk kepada Koperasi-Koperasi Pekebun Kecil Risda turut mengumumkan pembayaran dividen sebanyak lima peratus bersamaan RM80,160 kepada 64 buah koperasinya dengan keahlian 146, 955 orang.

Dividen tersebut merupakan hasil keuntungan bersih yang dicatatkan kumpulan koperasi itu pada tahun lalu berjumlah RM19.6 juta berbanding RM350,000 pada tahun 2015.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here