Korea Utara lancar Scud

0
40


SEOUL: Tentera Korea Selatan dan Jepun mendakwa musuh tradisinya Korea Utara melancarkan peluru berpandu Scud jarak dekat dan mendarat di luar pantai timur negara itu, hari ini.

Kenyataan Ketua Turus Bersama berkata, peluru berpandu itu terbang sejauh 450 kilometer, pelancaran terkini siri ujian peluru berpandu Korea Utara minggu ini.

Pelancaran itu segera dilaporkan kepada Presiden Korea Selatan Moon Jae-in yang mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Kebangsaan pada jam 7.30 pagi waktu tempatan.

Pelancaran peluru berpandu itu dan ancaman Pyongyang untuk melancarkan ujian nuklear keenam, mencetuskan gesaan sekatan lebih keras Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan amaran daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bahawa campur tangan tentera adalah pilihan yang dipertimbangkan.

Pada masa sama seorang pegawai Rumah Putih berkata, Trump turut diberi taklimat berhubung pelancaran ujian peluru berpandu Korea Utara itu.

“Kerajaan AS dan presiden telah diberi taklimat,” kata pegawai itu.

Ketua Turus Bersama Kakitangan Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata, peluru berpandu balistik tidak dikenal pasti (disyaki Scud) dilepaskan dari bandar tepi laut Korea Utara di Wonsan jam 5.09 pagi dan menuju ke arah timur.

“Jarak penerbangan adalah kira-kira 450 kilometer,” kata kenyataan, menambah pakar Korea Selatan dan AS sedang menganalisis pelancaran untuk butiran lanjut.

Sementara itu, Jepun menerusi Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga membantah tindakan negara penentang terbabit dan mendakwa peluru berpandu yang dilancarkan mendarat di kawasan zon ekonomi Laut Jepun. – Reuters/ AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here