Kos sara hidup terendah? Realitinya, rakyat terbeban – PKR

0
49



Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kenyataan mengenai kos sara hidup paling rendah di Asean tidak membawa sebarang erti selagi rakyat terbeban dengan kenaikan harga mendadak pelbagai barangan dan perkhidmatan.

Kata beliau, kenyataan itu muncul apatah lagi selepas pemansuhan pelbagai subsidi kerajaan.

“Segenap lapisan rakyat tahu membezakan antara keperitan menanggung kos sara hidup masa kini dengan zaman-zaman sebelum ini, sekalipun ia digula-gulakan dengan pengiktirafan kaji selidik antarabangsa.

“Pengiktirafan yang membandingkan harga barangan dan perkhidmatan dengan 133 bandar raya di seluruh dunia itu langsung tidak mengambarkan realiti kehidupan dan hakikat penderitaan rakyat berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kos sara hidup di Malaysia adalah yang terendah dalam kalangan negara ASEAN mengikut kaji selidik kos sara hidup di seluruh dunia 2017 oleh Economist Intelligence Unit.

Kata Najib, ia hasil daripada pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di negara ini.

Kaji selidik oleh Economist Intelligence Unit itu membandingkan harga barang dan perkhidmatan di 133 bandar raya seluruh dunia.

“Bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa pengiktirafan tersebut tidak bermakna usaha kita meringankan bebanan kos sara hidup sudah selesai, ” ujar Najib menerusi catatan blog najibrazak.com bertajuk Ucapan Perdana Menteri Mengenai Taraf Hidup Rakyat.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, kenyataan Najib susulan keputusan kaji selidik itu, kononnya untuk merangka pelbagai program untuk memacu pendapatan dan mengurangkan harga barangan pula hanya retorik yang diulang-ulang.

“Apakah yang kerajaan Umno, BN pimpinan Najib telah lakukan sepanjang pentadbirannya kerana pendapatan rakyat tidak meningkat, apakah pula usaha kerajaan Najib untuk mengurangkan harga barangan,” tanya beliau.

Kata-kata Najib untuk menjadikan Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi, nyata tidak berpijak di bumi nyata malah sangat bertentangan dengan realiti kehidupan semasa ekonomi rakyat, tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here