KPDNKK patahkan cubaan seludup keluar minyak masak

0
40



Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Keningau, berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar pelbagai barang kawalan bersubsidi bernilai RM15,500 ke sebuah negara jiran, semalam.

Ketua Cawangan KPNDKK Keningau, K. Gunasegaran berkata, barangan bersubsidi yang dirampas berkenaan ialah berpuluh paket minyak masak dan tong gas petroleum cecair (LPG), yang dipercayai cuba diangkut melalui jalan sungai untuk pasaran gelap di negara jiran berdekatan.

“Barang-barang bersubsidi itu dilonggokkan di tebing Sungai Pensiangan di satu lokasi terpencil di daerah kecil Pagalungan, kira-kira 105km dari sini” katanya kepada Bernama di Keningau hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beberapa orang yang dipercayai dalang penyeludupan barang bersubsidi itu gagal diberkas kerana melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Menurutnya, kejayaan berkenaan merupakan hasil risikan selama tiga hari oleh pegawai dan anggota penguat kuasa kementerian itu manakala kesemua rampasan itu disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here