KPKT sasar tubuh skuad bomba di sekolah tahfiz tahun ini

0
47



Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhasrat untuk mengembangkan skuad bomba di institusi pendidikan agama seluruh negara menjelang akhir tahun ini bagi menangani kebakaran awal di institusi itu.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata penubuhan skuad hasil inisiatif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu, susulan banyak kes kebakaran di institusi pendidikan agama sejak kebelakangan ini.

Katanya, kebakaran membabitkan bangunan tahfiz dilaporkan berlaku setiap tahun dan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, 30 pondok, madrasah dan sekolah tahfiz musnah dalam kebakaran.

“Kebakaran mungkin mudah berlaku di bangunan maahad tahfiz kerana kurangnya pendedahan taklimat dan latihan keselamatan kebakaran selain tiada peralatan keselamatan di bangunan terbabit,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Skuad Bomba Tahfiz peringkat negeri Selangor di Masjid Jamiul Hasanat, Batu 10, di Tanjong Karang semalam.

Pada majlis itu, seramai 300 pelajar dari 30 maahad tahfiz di Selangor dilantik menjadi skuad bomba tahfiz pertama di Selangor bagi membantu mengurangkan kes kebakaran membabitkan bangunan institusi pendidikan agama di negara ini.

Keanggotaan skuad bomba itu mengandungi sekurang-kurangnya 10 orang bagi setiap pasukan yang terdiri daripada kalangan pihak pengurusan, guru dan pelajar.

Noh berkata kementeriannya bersetuju memperuntukkan sebanyak RM5,000 untuk maahad tahfiz di Selangor bagi menubuhkan skuad bomba tahfiz ini.

Awal bulan ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan penubuhan Skuad Bomba Pondok bagi Zon Utara yang bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada komuniti sekolah pondok mengenai peralatan keselamatan kebakaran.

Dalam pada itu, Noh menarik perhatian bahawa pada Ogos 2015, pernah berlaku kebakaran di Maahad Tahfiz Jamiul Hasanat hingga menyebabkan sebuah bangunannya musnah namun tiada kehilangan nyawa berlaku.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here