'Krisis dadah terburuk dalam sejarah AS'

0
12


Gambar hiasan. – Foto AFP

WASHINGTON: Seramai 412 doktor, jururawat dan lain-lain kakitangan profesional perubatan didakwa atas tuduhan melakukan penipuan dengan mengeluarkan preskripsi berlebihan ubat opioid.

Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Jeff Sessions, menganggap perbuatan itu sebagai ‘krisis dadah terburuk dalam sejarah negara’ apabila hampir 60,000 terbunuh kerana mengambil ubat berlebihan sepanjang tahun lalu.

Opioid merangkumi ubat-ubatan yang kerap digunakan bagi melegakan kesakitan dalam lingkungan sederhana hingga kronik.

Tuduhan dikenakan terhadap doktor dan lain-lain pihak yang terbabit dalam pengedaran ubat ketagihan seperti Oksikodon ke pasaran menggunakan skim preskripsi tidak sah.

PEGUAM Negara Amerika Syarikat (AS), Jeff Sessions. – Foto AFP

Pertuduhan menyasarkan individu yang membuat tuntutan palsu terhadap insurans kesihatan dikendalikan oleh kerajaan iaitu Medicaid dan Medicare termasuk bagi program pemulihan dadah.

Ia turut membabitkan individu yang mengeluarkan preskripsi ubat secara tidak sah kepada pesakit bagi membolehkan mereka membuat tuntutan berlebihan kepada kerajaan.

Jabatan Kehakiman berkata, tindakan itu menyebabkan kerajaan menanggung kerugian AS$1.3 bilion (RM5.58 bilion).

“Terlalu ramai kakitangan profesional perubatan seperti doktor, jururawat dan ahli farmasi memilih untuk mengenepikan sumpah mereka dan meletakkan sikap tamak melebihi tanggungjawab kepada pesakit.

“Lebih mengagumkan, ada sesetengah daripada individu terbabit meraih jutaan ringgit susulan jenayah ini.

“Mereka seolah-olah tidak menyedari kesan buruk akibat sikap tamak itu,” kata Sessions. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here