Krisis tenaga Gaza mungkin cetus keganasan baharu

0
43


DUTA PBB, Nickolay Mladenov.

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bimbang krisis tenaga di Gaza yang semakin buruk sehingga menjejaskan bekalan air dan khidmat kesihatan mungkin mencetuskan keganasan baharu.

Duta PBB, Nickolay Mladenov memberitahu Majlis Keselamatan bahawa Israel, Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan pergerakan Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza, ‘semuanya bertanggungjawab menjaga kebajikan penduduk Gaza.’

Sebuah loji jana kuasa yang membekalkan 30 peratus bekalan elektrik Gaza berhenti berfungsi 16 April lalu selepas pertelingkahan meletus antara PA dan Hamas berhubung cukai ke atas bahan api.

Palestin juga memutuskan untuk mengehadkan pembelian elektrik dari Israel, keputusan yang bakal mengurangkan lagi bekalan elektrik ke Gaza sebanyak 30 peratus.

Ketika ini, majoriti penduduk Palestin di Gaza menerima kira-kira empat jam bekalan elektrik sehari.

“Berapa lama anda fikir mereka dapat bertahan jika ia dikurangkan lagi kepada dua jam sehari? Siapa yang akan membayar harga terhadap keganasan memuncak dan berterusan,” kata Mladenov kepada majlis menerusi sidang video dari Baitulmaqdis.

Katanya, hospital juga dipaksa menangguhkan pembedahan dan loji penapisan air berfungsi pada 15 peratus kapasiti, menyediakan air minuman selama beberapa jam setiap dua hingga empat hari.

Menurut duta itu, 100,000 meter padu sisa kumbahan dilepaskan ke dalam Laut Mediterranean setiap hari kerana loji rawatan gagal beroperasi sepenuhnya.

“Ini adalah satu bencana alam sekitar buat Israel, Mesir dan Gaza,” kata Mladenov. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here