Ku Nan tegur 'pemalas' di Putrajaya

0
56



Anggota Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, malam tadi menegur gaya hidup tidak sihat penduduk di kawasan diwakilinya.

Sambil mengakui beliau sendiri “sedikit obes” beliau berkata, ada banyak cara penduduk Putrajaya boleh bersenam namun mereka enggan berbuat demikian.

Katanya kawasan Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran negara itu adalah sebuah bandar raya dalam taman dan mempunyai pemandangan indah.

Keadaan itu, kata Tengku Adnan, membolehkan orang ramai beriadah termasuk seperti berjoging atau berbasikal.

“Tapi pergi kerja masih nak pandu kereta, (sepatutnya) berjalanlah.

“Kalau kereta tu boleh masuk lif, kereta pun kita bawa naik lif (sampai ke tempat kerja),” katanya sambil berseloroh semasa menghadiri majlis dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Putrajaya malam tadi.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan salah seorang peserta yang mencadangkan supaya kadar obesiti (kegemukan melampau) di Putrajaya dapat dikurangkan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 yang dilaporkan tahun lalu menyatakan Putrajaya memiliki kadar peratusan kegemukan, obesiti dan boroi tertinggi di negara ini.

Kajian itu menyatakan, 43 peratus penduduk Putrajaya adalah obes, manakala 31 peratus lagi mempunyai berat badan berlebihan.

Terdahulu Tengku Adnan menegur penduduk Putrajaya yang perlu lebih mengambil berat terhadap soal kebersihan di kawasan petempatan masing-masing.

“Kerajaan sediakan tempat pembuangan sampah, tapi ada orang yang bakar tempat buang sampah itu,” katanya.

Bagaimanapun Tengku Adnan berkata beliau bukanlah merungut dengan keadaan serta sikap orang ramai.

Sebaliknya, kata beliau, kata-kata itu sekadar menjelaskan apa yang wajar dilakukan penduduk Putrajaya bagi memastikan kawasan itu selesa didiami.

Turut disentuh setiausaha agung Umno itu ialah rancangan kerajaan menyediakan liputan Internet tanpa wayar di bandar berkenaan.

 

Katanya, beliau turut berharap Putrajaya dapat mencapai status bandar raya pintar menjelang 2050.

[Baca berita penuh]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here