Kuasa beli akan meningkat dengan GST pada kadar sifar

0
134
Advertisement

SHAH ALAM: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar, yang berkuat kuasa mulai 1 Jun, 2018 akan membolehkan rakyat, terutamanya kumpulan berpendapatan sederhana, mendapat semula kuasa beli mereka dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan India Malaysia (1MINE) Datuk S. Gopinath, yang menyambut baik langkah tersebut, berkata pengumuman daripada Kementerian Kewangan mengenai kadar sifar itu tepat pada masanya berikutan rakyat perlu menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“GST pada kadar sifar adalah baik dan kita mempunyai ahli ekonomi seperti bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang menyatakan ekonomi kita boleh meningkat tanpa hasil daripada cukai ini,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Gopinath berkata semasa GST mula diperkenalkan pada 1 April, 2015, rakyat diberi jaminan bahawa ia akan mengurangkan harga dan kos operasi perniagaan, terutamanya bagi pengeluar.

“Bagaimanapun, tiada janji yang menjadi kenyataan dan rakyat mula menerima kesan daripada kenaikan harga yang mendadak termasuk harga makanan yang terlalu tinggi.

“Pengurangan subsidi bersama pelaksanaan GST telah menjadikan kehidupan kita sukar,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here