Kuatkan semangatmu Muhammad Safwan

0
298
Advertisement



LELAKI orang kurang upaya (OKU) yang pernah menjadi pelajar cemerlang kini hanya mampu bekerja sebagai penjual belon di jalanan selepas menghidap penyakit misteri sejak 10 tahun lalu.

Muhammad Safwan Ariffin, 28, yang kini memegang Kad OKU (mental), disahkan mempunyai selaput di bahagian otak yang turut menjejaskan keadaan fizikal, pertuturan malah ada masanya tidak dapat mengawal emosi.

Namun anak bongsu daripada lima beradik itu memiliki semangat yang kental dengan berusaha mencari duit sendiri dan bekerja sebagai penjual belon di sekitar bandar Kota Bharu.

Muhammad Safwan berkata, dia menggunakan masa terluang dengan mencari rezeki menjual belon setiap hari jika kesihatannya mengizinkan.

“Saya menjual dan membuat pelbagai jenis bentuk belon yang biasanya disukai golongan kanak-kanak dengan harga RM2 hingga RM5 atau memberi mereka secara percuma.

“Sebenarnya, selain berniaga untuk mengisi masa lapang, saya senang bila dapat berjumpa dengan ramai orang dan melihat wajah kegembiraan kanak-kanak apabila menerima belon.

“Berbekalkan hanya kerusi dan belon, saya akan berada di lokasi berbeza di sekitar bandar ini dari 8 pagi sehingga 12 tengah hari untuk menjual belon,” katanya ketika ditemui di pasar pagi Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong, di sini.

Sementara itu, ibunya, Saudah Husin, 58, berkata, dia berbangga dengan semangat yang dimiliki anaknya walaupun ditimpa pelbagai ujian dan cabaran, dia tetap bekerja mencari duit sendiri.

Katanya, Muhammad Safwan sebelum ini pelajar yang sangat cemerlang malah mendapat keputusan 5A Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 7A untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dia mula menunjukkan tanda sakit ketika sedang membuat persiapan untuk menghadapi SPM, namun begitu keputusannya tetap membanggakan sehingga dia ditawar ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Bagaimanapun, saya sebagai ibu reda apabila hanya satu semester dia di UPNM kerana keadaannya semakin teruk sehingga dia tidak mampu berjalan dan bertutur selama hampir lima tahun.

“Alhamdulillah, kini dia semakin pulih, namun masih perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tiga bulan sekali,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Saudah berharap semoga anaknya itu mampu sembuh seperti biasa selain sentiasa memberikannya nasihat dan sokongan setiap kali Muhammad Safwan merungut akan nasib malang yang ditimpanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here