Kukuh cengkaman

0
39



Seremban: “Syabas kepada pemain kerana memastikan tiga mata menjadi milik pasukan,” kata naib presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin.

Negeri Sembilan mengatasi Perlis 1-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam kelmarin menerusi jaringan pemain tengah Khairul Anwar Shahrudin pada minit ke-62.

Kemenangan itu sekali gus mengukuhkan lagi cengkaman skuad Hoben Jang Hoben di puncak carta selain mempertahankan rekod tanpa kalah sepanjang 14 perlawanan.

Mohamad Haslah berkata, secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan persembahan pemain walaupun beberapa peluang menambah gol dipersiakan.

Menurutnya, tempoh rehat panjang sebelum ini sedikit menjejaskan rentak permainan pasukan walaupun sudah mengatur lima aksi persahabatan.

“Harapan tinggi yang diletakkan ke atas pemain untuk menang juga memberi sedikit tekanan kepada mereka. Saya dapati tidak kurang 15 peluang terbaik di hadapan pintu gol Perlis, gagal dimanfaatkan.

“Walaupun gandingan Bruno Suzuki dan Jonathan Behe yang mengemudi jentera serangan menunjukkan persefahaman baik, namun mereka gagal memanfaatkan rentetan peluang yang terhidang,” katanya semalam.

Mohamad Haslah berkata, pihaknya yakin dan percaya anak buah Asri Ninggal bakal memperagakan rentak lebih baik pada perlawanan akan datang kerana kemenangan amat penting dalam misi mengekalkan kedudukan, sekali gus meraih kejuaraan liga musim ini.

Justeru, beliau berharap pemain dapat kekal fokus dan disiplin tinggi kerana cabaran pada baki saingan liga lebih sengit, selain berdepan jadual perlawanan padat sepanjang Julai ini, termasuk saingan Piala Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here